Manifesto PN: Rakyat Pahang mahu perubahan

- Advertisement -

KUALA LIPIS: Sepanjang berjumpa pengundi di Pahang, kebanyakan mereka mahukan perubahan, kata Timbalan Presiden PAS, Dato’ Sri Tuan Ibrahim Tuan Man.

- Advertisement -

Menurutnya, kemahuan pengundi untuk melakukan perubahan itu hanya dapat dicapai melalui kemahuan untuk melakukan perubahan kepada tampuk kepimpinan kerajaan negeri.

“Pengundi yang saya jumpa, mereka harapkan perubahan. Jadi saya bagitahu, kalau mahukan perubahan, pemimpin dan parti yang memerintah juga perlu berubah.

“Jika kita kekalkan seperti mana sekaran, kita hanya berangan-angan, dan kita tidak akan dapat perubahan tersebut,” katanya ketika ditemui Harakahdaily selepas selesai solat Zohor berjemaah di Masjid Mela, hari ini.

Justeru, calon PERIKATAN NASIONAL bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Cheka itu berharap supaya para pengundi dapat melakukan perubahan berkenaan melalui Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), pada 19 November ini.

Katanya, mereka juga perlu memastikan anak-anak dan keluarga mereka, terutamanya pengundi luar pulang untuk menunaikan tanggungjawab sebagai rakyat untuk memilih pemimpin yang baik.

Tambah beliau, rakyat Pahang boleh menilai kepimpinan PERIKATAN NASIONAL selepas ini berdasarkan rekod baik PAS di Kelantan dan Terengganu.

“Apabila kita lihat PAS memeritah di Kelantan dan Terengganu, bukan rosak, malah bertambah baik. Bertambah banyak kebaikan yang rakyat perolehi daripada perubahan tersebut.

“Ini yang kita mahukan. Kalau Kelantan dan Terengganu sudah berubah, tinggal Pahang sahaja di Pantai Timur, saya fikir selangkah sahaja lagi. Kata orang tua, satu kali berdehem sahaja lagi,” katanya.

Sementara itu kata Tuan Ibrahim, jika rakyat masih kekal dengan pemerintahan sama yang mentadbir Pahang selama ini, rakyat tidak akan dapat melihat perubahan tersebut.

“Jika kita pilih parti yang sama, tiada apa-apa yang akan berubah, kita akan dapat benda sama sahaja. Sebagai contoh, kalau penduduk kekalkan pilihan BN, kita sudah tahu selama 60 tahun ini, inilah yang akan kita dapat, tiada apa-apa.

“Kita tiada harapan baharu, maka untuk lihat perubahan baharu, tidak berlaku. Kalau kita buat perubahan, barulah kita boleh letak harapan kepada perubahan tersebut,” katanya.

Malam tadi, Timbalan Pengerusi PERIKATAN NASIONAL yang juga Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang melancarkan Manifesto PERIKATAN NASIONAL Pahang dengan 12 tawaran yang sebahagian besar berkait dengan keperluan ekonomi rakyat negeri ini.

Manifesto dengan tema ‘Pahang Berkat, Makmur dan Sejahtera’ itu mengandungi inti pati untuk mendaulatkan agama, mendukung sistem tadbir urus negeri yang bersih, berintegriti dan cekap. – HARAKAHDAILY 9/11/2022

- Advertisement -