UK tiada cadangan pindah kedutaan di Israel ke Baitulmaqdis

- Advertisement -

LONDON: Kerajaan United Kingdom baharu di bawah kepimpinan Perdana Menteri, Rishi Sunak tidak bercadang untuk memindahkan kedutaan negara itu di Israel dari Tel Aviv ke Baitulmaqdis, hanya beberapa minggu selepas perdana menteri sebelumnya, Liz Truss berkata beliau sedang mengkaji lokasi misi pemindahan itu.

- Advertisement -

Jurucakap kerajaan UK dalam kenyataannya kepada The New Arab berkata pada Rabu, tiada rancangan untuk memindahkan kedutaan UK di Israel dari Tel Aviv ke Baitulmaqdis.

Sementara secara berasingan, jurucakap Sunak berkata bahawa tidak ada rancangan pada ketika ini untuk menukar lokasi kedutaan UK di Israel, sebagai jawapan kepada soalan adakah pentadbiran pemimpin Tory masih meneruskan rancangan untuk memindahkan misi ke Baitulmaqdis.

Kenyataan itu datang pada ulang tahun ke-105 Deklarasi Balfour – kenyataan pada 1917 yang sangat kontroversi, yang mana kerajaan UK berkata ia ‘memihak kepada penubuhan penempatan khusus untuk kaum Yahudi  di Palestin’.

“Kami ingin mengucapkan terima kasih kepada kerajaan UK, parti pembangkang, pemimpin agama, aktivis dan orang ramai yang usaha mereka telah membantu memastikan negara ini sejajar dengan undang-undang antarabangsa mengenai perkara itu (isu Israel dan Palestin),” kata Duta Palestin ke Britain, Husam Zomlot dalam satu kenyataan.

Tambahnya, persoalan mengenai lokasi kedutaan UK di Israel sepatutnya tidak pernah ditanya sejak awal.

“Terdapat banyak kerja yang perlu dilakukan untuk mewujudkan persekitaran yang kondusif untuk keamanan di Timur Tengah dan menebus ketidakadilan bersejarah yang disebabkan oleh Deklarasi Balfour, 105 tahun lalu,” tegasnya.

Sehubungan itu, Zomlot menggesa kerajaan UK untuk memainkan peranan aktif, termasuk mengiktiraf Palestin sebagai sebuah negara.

Deklarasi Balfour dilihat oleh banyak pihak sebagai detik bersejarah penting yang meletakkan UK di landasan sokongan padu untuk Israel yang berterusan sehingga hari ini, walaupun berlaku perampasan berterusan terhadap hak rakyat Palestin.

Terdahulu, Liz Truss pada September lalu berkata bahawa beliau sedang mengkaji lokasi kedutaan Britain ke Israel.

Kenyataan Truss itu  telah mendapat kritikan meluas, termasuk daripada kardinal Katolik paling kanan UK, Vincent Nichols.

Dalam tweetnya, beliau berkata  bahawa memindahkan kedutaan UK  ke Baitulmaqdis ‘akan merosakkan secara serius sebarang kemungkinan keamanan berkekalan di rantau ini dan kepada reputasi antarabangsa UK’.

Uskup Agung Canterbury Justin Welby, pendeta terkemuka di Gereja England, “prihatin tentang potensi kesan” pemindahan kedutaan akan berlaku, seorang jurucakap memberitahu akhbar mingguan Jewish News bulan lalu.

Setiausaha Agung Liga Arab, Ahmed Aboul Gheit pula dalam kenyataannya menggesa kerajaan UK agar ‘menahan diri’ daripada mengambil sebarang tindakan yang menyalahi undang-undang antarabangsa.

Berita UK tidak bercadang untuk memindahkan kedutaannya muncul walaupun Sunak  sebelum ini berkata pada  Ogos bahawa Baitulmaqdis ‘tidak dapat dinafikan’ sebagai ‘ibu kota bersejarah’ Israel.

Sunak membuat kenyataan itu semasa bersaing  sebelum ini untuk menjadi perdana menteri UK yang menyaksikan beliau tewas kepada Truss.

Sunak ketika itu berkata  bahawa terdapat fakta ‘kes yang sangat kuat’ untuk Britain mengiktiraf bandar itu  dan bahawa ia ‘sangat terbuka untuk membuat penelitian’ tentang isu berkenaan.

Bagaimanapun, tambahnya, memandangkan beliau tidak pernah memegang jawatan sebagai setiausaha luar UK, ‘sudah pasti  ada beberapa sensitiviti yang terlibat kerana jika ia semudah itu, ia akan dilakukan sekarang”.

Status Baitulmaqdis merupakan isu utama dalam konflik Israel-Palestin, apabila Israel menawan dan mula menjajah Baitulmaqdis Timur pada 1967, sebelum menggabungkannya pada 1980 apabila ia mendakwa seluruh bandar itu sebagai ibu kotanya.

Rakyat Palestin pula melihat Baitulmaqdis Timur sebagai ibu negara negara merdeka masa depan mereka. – HARAKAHDAILY 3/11/2022

- Advertisement -