Boling MAIWP erat hubungan bersama media

Mohd Daud Bakar (tiga dari kanan) bersama pasukan Harakah yang menyertai pertandingan boling bersempena Program Ramah Mesra MAIWP bersama Media 2022 di Pusat Beli-Belah Sunway Pyramid , Bandar Sunway, Petaling Jaya, Selangor pada 17 Okt 2022.
- Advertisement -

Oleh SYAHIRAH SALLEH dan ZULHAIDI MANSOR

- Advertisement -

PETALING JAYA: Pertandingan boling anjuran Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) berjaya mengeratkan lagi silaturahim agensi berkanun itu dengan media tempatan.

Berlangsung dalam suasana penuh meriah bermula bermula pada jam 3 petang di Sunway Mega Lane, Pusat Beli-Belah Sunway Pyramid, ia adalah merupakan kesinambungan Majlis Makan Malam MAIWP bersama Media pada  tahun lalu. 

Pengerusi MAIWP, Tan Sri Dr Mohd Daud Bakar berkata, pada tahun ini, program ramah mesra bersama media diadakan dalam bentuk pertandingan boling untuk mewujudkan suasana yang lebih santai. 

Mohd Daud menyerahkan plak penghargaan kepada Pengarang HarakahDaily, Azmi Yusof. (FOTO: HARAKAHDAILY/MUHAMMAD ZHARIF ZULKIFLEE)

“Masih membawa semangat yang sama, bertunjangkan ukhuwah yang lebih erat, pada program hari ini penglibatan daripada rakan-rakan media amat menggalakkan. 

“Alhamdulillah, saya difahamkan rakan-rakan media dari TV3, RTM, TV Al Hijrah, Astro, IKIM, Bernama, Harian Metro, Berita Harian, Sinar Harian, Harakah telah sudi meluangkan masa untuk turut sama pada program kali ini,” ujarnya pada Program Ramah Mesra MAIWP bersama Media 2022, di sini, pada hari ini. 

Menurut beliau, sinergi antara MAIWP dan media amat diperlukan dalam usaha MAIWP meningkatkan keterlihatan. 

Pasukan Harakah yang menyertai pertandingan boling anjuran Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP). 

Katanya lagi, usaha keterlihatan itu bukan sahaja dalam kalangan pemegang saham, malahan kepada seluruh masyarakat Malaysia mahupun peringkat antarabangsa. 

“Kita mahu setiap aktiviti yang kita laksanakan, setiap program yang kita rancang diuar-uarkan kepada masyarakat. 

“Ini kerana sebagai sebuah organisasi yang meletakkan kemaslahatan ummah sebagai paksi utamanya, dengan amanah dana zakat yang MAIWP galas, sudah pastinya every eyes on us,” ujarnya. 

Mohd Daud menunjukkan skil bermain boling pada pertandingan boling anjuran MAIWP. (FOTO: HARAKAHDAILY/MUHAMMAD ZHARIF ZULKIFLEE)

Beliau menegaskan, adalah amat penting bagi MAIWP  tanpa leka dan dengan sokongan dan bantuan rakan-rakan media untuk berterusan menyalurkan informasi yang tepat dan tuntas kepada masyarakat agar dapat meningkatkan keyakinan masyarakat pada MAIWP.

Mewakili barisan pengurusan MAIWP, beliau berharap agar rakan-rakan media terus memberikan sokongan kepada MAIWP bukan sahaja dalam menyalurkan maklumat yang tepat, tetapi juga selaku mata dan telinga bagi pihak MAIWP. 

“Berbisiklah dahulu kepada kami sekiranya terdengar isu-isu tular yang melibatkan MAIWP, agar kami dapat beri informasi sebenar dan salurkanlah informasi tersebut kembali kepada masyarakat. 

Pertandingan boling MAIWP ini bermatlamat mengeratkan silaturahim MAIWP dengan media tempatan. (FOTO: HARAKAHDAILY/MUHAMMAD ZHARIF ZULKIFLEE)

“Saya yakin dan percaya, dengan sinergi sebegini akan dapat membantu membina minda masyarakat yang hanya mendambakan berita yang sahih,” katanya. 

Pertandingan boling MAIWP itu menyaksikan pasukan Media Prima TV3 merangkul juara dengan membawa pulang wang tunai RM1,500 berserta trofi.

Sementara, naib juara dimenangi pasukan Harian Metro dengan membawa pulang wang tunai RM1,200 bersama trofi; dan Kolej Universiti Antarabangsa MAIWP (UCMI) mendapat tempat ketiga dengan wang tunai RM1,000 bersama trofi. 

Dalam pada itu, pasukan Harakah pula mendapat tempat ke-14 daripada 24 kumpulan yang bertanding pada hari ini. – HARAKAHDAILY 17/10/2022

- Advertisement -