PRU15: Abnaul harakah PAS diseru taati Allah, taati pimpinan

- Advertisement -

FIRMAN Allah S.W.T:

- Advertisement -

{ مَّن یُطِعِ ٱلرَّسُولَ فَقَدۡ أَطَاعَ ٱللَّهَۖ وَمَن تَوَلَّىٰ فَمَاۤ أَرۡسَلۡنَـٰكَ عَلَیۡهِمۡ حَفِیظࣰا }

“Sesiapa yang taat kepada Rasulullah, maka sesungguhnya ia telah taat kepada Allah; dan sesiapa yang berpaling ingkar, maka (janganlah engkau berdukacita wahai Muhammad), kerana Kami tidak mengutusmu untuk menjadi pengawal (yang memelihara mereka dari melakukan kesalahan).”

[An-Nisâ’: 80]

Kalam Allah S.W.T di atas jelas memperingatkan para Sahabat yang berjuang bersama Nabi S.A.W agar tetap taat kepada Nabi S.A.W dalam apa jua keadaan kerana taat kepada Nabi S.A.W adalah merupakan manifestasi ketaatan kepada Allah.

Ketika berlakunya pertempuran dengan musuh-musuh Islam, Nabi S.A.W diuji dengan perangai sekelompok Munafik yang mengungkapkan kalimat yang digazetkan Allah melalui ayat seterusnya:

{ وَیَقُولُونَ طَاعَةࣱ فَإِذَا بَرَزُوا۟ مِنۡ عِندِكَ بَیَّتَ طَاۤىِٕفَةࣱ مِّنۡهُمۡ غَیۡرَ ٱلَّذِی تَقُولُۖ وَٱللَّهُ یَكۡتُبُ مَا یُبَیِّتُونَۖ فَأَعۡرِضۡ عَنۡهُمۡ وَتَوَكَّلۡ عَلَى ٱللَّهِۚ وَكَفَىٰ بِٱللَّهِ وَكِیلًا }

“Dan mereka (golongan munafik) berkata: “(Kami) taat”, kemudian apabila mereka keluar dari majlismu, segolongan dari mereka memutuskan pada malam hari satu rancangan yang lain daripada (pengakuan taat) yang mereka katakan (kepadamu). Sedang Allah (perintahkan malaikat) menulis apa yang mereka rancangkan itu; maka berpalinglah (wahai Muhammad) daripada mereka, (janganlah dihiraukan apa yang mereka rancangkan), serta berserahlah kepada Allah; kerana cukuplah Allah menjadi Pembela (yang memeliharamu dari angkara mereka).”

[An-Nisâ’: 81]

Kelompok yang mulutnya mengungkap kalimat taat sebaliknya bertindak berpaling dari Nabi adalah merupakan sikap buruk yang diwajahkan oleh puak munafik yang perlu diambil perhatian.

Mendepani situasi PRU-15 yang agak luar biasa, sudah barang pasti keputusan pimpinan PAS Pusat dalam strategi nya yang memilih PN serta menangguhkan hubungan dengan Umno BN menyebabkan sebahagian ahli dan pimpinan tertentu merasa tidak puas dek kerana ingin melihat situasi kemenangan mudah gabungan MN.

Fokus utama adalah jelas menolak sengsara 22 bulan pemerintahan Pakatan Harapan yang carca merba. 

Pakatan Harapan melalui dominan utama DAP telah mengancam urusan umat Islam dengan kenyataan-kenyataan mengguris ketenteraman rakyat khususnya orang Melayu.

Namun, yakinlah semua abnaul harakah bahawa keputusan pimpinan PAS Pusat yang dipimpin oleh Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang ini adalah keputusan yang dibuat setelah mengambil kira semua aspek termasuk survival jemaah PAS yang kita kasihi ini demi Islam bahkan kebaikan tanah watan.

Perikatan Nasional (PN) sebagai platform baharu yang mungkin ada kekurangan sedikit sebanyak, namun demi taat kepada keputusan pimpinan PAS Pusat adalah suatu yang mesti. 

Pendengaran kita sudah basah didendang dengan kalimat tarbiyyah “السمع والطاعة فيما أحب وفكره” yang bermaksud “Dengar dan taat pada semua keadaan sama ada suka atau sebaliknya”, maka inilah masanya kita buktikan makna kalimat tarbiyyah itu dengan penghayatan taat terhadap keputusan pimpinan PAS Pusat bersama PN mendepani PRU15 ini seluruh jiwa raga kita.

Pemuda PAS Gombak menegaskan bahawa:

Kami tetap akan memilih taat kepada keputusan pimpinan PAS Pusat untuk bersama PN, menolak Pakatan Harapan secara total dan menangguhkan hubungan dengan Umno BN dan mengajak seluruh ahli gerakan Islam PAS di semua peringkat untuk kita taat kepada keputusan yang telah tuntas ini.

Yakinlah bahawa ketaatan kepada pimpinan ini adalah ketaatan kepada Allah!

Justeru, Pemuda PAS Gombak menyeru agar seluruh ahli PAS merapatkan saf, wala’ dan taat akan keputusan Tuan Guru Presiden PAS ibarat menggenggam bara api sehingga jadi arang.

DEWAN PEMUDA PAS GOMBAK – HARAKAHDAILY 18/10/2022

- Advertisement -