Lagi musibah banjir di Australia

- Advertisement -

Susunan NORHANA MAT ZIN

- Advertisement -

SYDNEY: Puluhan ribu rakyat Australia  yang tinggal di  tenggara negara itu dan barat Melbourne diminta mengosongkan rumah mereka pada hari ini Jumaat (14 Okt), selepas hujan lebat melanda tidak henti-henti selama dua hari berturut-turut  menyebabkan banjir kilat.

Pakar cuaca Australia berkata banjir yang melanda negara itu baru-baru ini telah diburukkan oleh perubahan iklim dan fenomena cuaca La Nina yang telah meragut nyawa lebih 20 orang  pada tahun ini. 

Peningkatan La Nina sebelum ini telah menyebabkan hujan, taufan dan suhu siang hari yang lebih sejuk.

Banjir yang melanda di Australia turut membanjiri jalan raya sehingga memaksa penutupan beberapa buah sekolah dan memutuskan bekalan elektrik kepada 3,000 rumah dan perniagaan.

Banjir yang melanda ini juga menyebabkan sekurang-kurangnya 500 buah rumah ditenggelami air, seorang maut dan seorang lagi hilang ketika bencana itu berlaku.

Lebih banyak hujan diramalkan dalam beberapa minggu akan datang telah memberikan tekanan pada sungai yang sudah bengkak dan tanah tepu.

Pekan Seymour di utara Melbourne juga telah menerima 155mm dalam tempoh 24 jam iaitu tiga kali ganda purata hujan Oktober, atau kira-kira satu perempat daripada jumlah purata yang diterima London dalam tempoh setahun.

Menurut Pegawai Biro Meteorologi, Dean Narramore kepada televisyen ABC, air sungai yang merentasi negeri paling padat di Australia iaitu di New South Wales (NSW) dan Victoria serta Tasmania dikesan meningkat ke tahap berbahaya dengan kawasan tadahan mulai melimpah.

Victoria merupakan negeri kedua yang mempunyai bilangan paling ramai penduduk di Australia turut terkesan dengan musibah banjir teruk.  

Banyak sungai di Victoria, termasuk Maribyrnong di barat Melbourne dan Goulburn di utara, mencapai paras banjir besar sehingga menyebabkan pemindahan penduduk pada waktu malam.

Penduduk di tenggara Australia telah diberi amaran pada hari Rabu (12 Okt) lagi supaya mereka lebih bersedia menghadapi sistem cuaca tegang yang boleh membawa angin dan hujan lebat yang boleh merosakkan dalam tempoh dua hari akan datang.

Perdana Menteri Victoria, Daniel Andrews memberitahu kepada Perbadanan Penyiaran Australia, kejadian banjir yang berlaku ini merupakan musibah terburuk yang melanda di negeri itu dalam tempoh beberapa dekad.

“kita akan melihat semakin banyak air terus meningkat, semakin banyak rumah ditenggelami air dan semakin banyak komuniti ditutup.”

Beliau turut menasihatkan orang ramai supaya tidak memandu atau berjalan dalam suasana banjir. 

Tambah Andrews lagi kemudahan pusat kuarantin Covid-19 yang dibina khas di negeri itu, telah ditutup pada minggu lalu selepas Australia membatalkan peraturan pengasingan. Pusat khas itu boleh dibuka semula untuk melindungi penduduk yang terjejas banjir.

Di Tasmania pula, beberapa sungai telah dinaiki air selepas  hujan turun iaitu sehingga 400mm di beberapa kawasan dalam sehari. Krisis banjir di wilayah itu bertambah teruk selepas lebih banyak perintah pemindahan semalaman.

Namun begitu, laporan mengatakan tidak jelas berapa banyak rumah dan perniagaan yang turut terjejas di sana.

Sementara  di New South Wales, kira-kira 600 orang telah diberitahu untuk berpindah dari bandar Forbes ke pusat pemindahan yang lebih selamat di mana kira-kira 250 hartanah dan perniagaan dijangka terkena banjir.

Seorang lelaki didapati maut di barat negeri itu awal minggu ini selepas keretanya ditenggelami air banjir.

Pasukan penyelamat juga telah mencari seorang lelaki berusia 63 tahun yang dipercayai telah dihanyutkan dalam keadaan yang sama pada Selasa (11 Okt) lalu. – HARAKAHDAILY 14/10/2022

- Advertisement -