Kerajaan berjaya kembalikan kepercayaan rakyat kepada TH

Jumlah deposit meningkat kepada RM88.09 bilion setakat Jun 2022; rekod tertinggi sejak 59 tahun TH

- Advertisement -

PADA separuh pertama tahun ini, Lembaga Tabung Haji (TH) telah memperoleh jumlah deposit sebanyak RM88.09 bilion, dan ia merupakan paras tertinggi yang pernah direkodkan sejak 59 tahun penubuhannya. Ini menjadikan TH meraih pendapatan sebanyak RM1.47 bilion pada separuh pertama tahun ini, dengan keuntungan bersih sebanyak RM1.03 bilion selepas ditolak peruntukan zakat. 

Kejayaan ini sudah pasti disumbang oleh kepercayaan para pendeposit terhadap TH, serta Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) dalam menguruskan institusi kewangan milik umat Islam ini. Lebih daripada 200,000 akaun simpanan baharu telah dibuka, menjadikan jumlah keseluruhan pendeposit TH kini mencapai 8.6 juta orang. Keyakinan dan kepercayaan ini diperoleh hasil usaha keras kami dalam membetulkan persepsi yang membelenggu TH sebelum ini, dan memastikan TH terus mapan dan relevan dalam mengurus wang amanah para pendepositnya. 

Saya masih ingat lagi, tatkala kepercayaan umat Islam kepada TH merundum dek kegagalan sesetengah pihak dalam mengurus persepsi yang membelenggu TH sebelum ini. Tuduhan-tuduhan seperti penjualan aset, penyelewengan dan sebagainya menyebabkan ramai umat Islam berasa sangsi akan kemampuan TH.

Itulah perkara pertama yang saya bersama mantan YB Menteri tekankan untuk diperbetulkan, sebaik menerima amanah sebagai anggota pentadbiran. Persepsi-persepsi yang membelenggu ini harus dileraikan. TH tidak boleh dilihat sebagai institusi yang merugikan umat Islam, sedangkan matlamat penubuhannya adalah untuk membantu umat Islam. 

Maka dalam melaksanakan hasrat ini, setiap tindakan yang dilaksanakan pengurusan TH diteliti. Segala transaksi, pelaburan dan perancangan, sama ada yang telah dilaksana atau sedang dilaksana dinilai semula. Aset-aset yang boleh dikekalkan dan berpotensi dipulihkan, kita usahakan supaya dikekalkan dan dimanfaatkan. Matlamat kita, supaya umat Islam kembali mempercayai institusi ini. Dan kini, ternyata usaha kami membuahkan hasil.

Melalui kepercayaan inilah, terhasilnya pelaburan yang meningkatkan jumlah pendapatan dan keuntungan TH. Ini termasuk pelaburan pendapatan tetap yang menyumbang sebanyak RM966.34 juta, pelaburan saham sebanyak RM224.62 juta, pelaburan harta tanah sebanyak RM213.66 juta, serta pendapatan-pendapatan lain sebanyak RM66.07 juta. Semua ini takkan berlaku tanpa kepercayaan dan sokongan dari para pendeposit. 

Ini suatu bukti kejayaan kerajaan dalam mengembalikan kepercayaan pendeposit, yang mana gagal dilakukan oleh pentadbiran sebelum ini. Ini juga suatu manifestasi keseriusan kami dalam menjaga serta memelihara institusi kewangan terbesar milik umat Islam ini. Keyakinan dan kepercayaan ini akan sentiasa dijunjung, demi memastikan TH mencapai hasratnya membantu umat Islam menunaikan rukun Islam kelima. Teruskan memberi kepercayaan kepada kami dalam melaksanakan amanah ini demi umat Islam.

YB DATO’ USTAZ AHMAD MARZUK SHAARY
Timbalan Menteri
Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) – HARAKAHDAILY23/9/2022

- Advertisement -
- Advertisement -