Hapus doktrin luar yang mengganggu hal ehwal Islam

- Advertisement -

GERAKAN Pembela Ummah (UMMAH) menyokong sepenuhnya saranan Pengerusi Gerakan Daulat, Prof Dr. Roslan Mohd Nor yang mengesyorkan agar kerajaan mengkaji ‘Doktrine Basic Structure Luar’ yang mengganggu gugat bidang kuasa Syariah dan Hal Ehwal Islam di negara ini. 

Sudah sampai masanya para hakim membebaskan penghakiman mereka berasaskan ‘Doktrine Basic Structure yang diimport daripada luar’ yang mengganggu gugat Hal Ehwal Islam di negara ini. 

Kita perlu memerdekakan penghakiman kita daripada merujuk kepada doktrin luar yang diimport masuk ke dalam sistem penghakiman kita, negara kita sudah lama merdeka dan sewajarnya sistem kehakiman kita sudah bebas daripada merujuk doktrin luar yang mengganggu asas-asas utama Perlembagaan kita yang menjulang Islam sebagai agama Persekutuan.

Sistem kehakiman kita sewajarnya merujuk dan memperkasa asas-asas kearifan local (kearifan watan) yang menjadi tiang-tiang asas utama kepada tertegaknya kedaulatan Perlembagaan negara.

Sudah sampai masanya rakyat menyuarakan hasrat ini, khususnya umat Islam kerana mutakhir ini banyak kes yang melibatkan kedaulatan umat Islam telah tewas di Mahkamah Sivil yang membuat taksiran penghakiman berdasarkan kepada doktrin luar sejak sekitar 2017-2018.

Sekiranya jika perlu kepada pindaan Perlembagaan bagi memperkasakan bidang kuasa Mahkamah Syariah, maka umat Islam sewajarnya bersatu ke arah melaksakan perkara ini demi survival kedaulatan umat Islam di negara ini.

UMMAH menyeru Ahli Parlimen Islam memberanikan diri bagi mencadangkan pindaan ini di Parlimen dengan mendapatkan sokongan majoriti 2/3 daripada Ahli Parlimen Islam dan juga yang bukan-Islam demi membina kebaikan bersama negara ini.

MOHD ZAI MUSTAFA
Pengerusi 
Gerakan Pembela Ummah (UMMAH) – HARAKAHDAILY 23/9/2022

- Advertisement -
- Advertisement -