Tommy Thomas boleh disiasat di bawah Akta Hasutan

Mohd Zai (tengah) pada sidang media di IPD Dang Wangi, Kuala Lumpur pada 21 September 2022. (FOTO: HARAKAHDAILY/MUHAMMAD ZHARIF ZULKIFLEE)
- Advertisement -

Oleh ZULHAIDI MANSOR

KUALA LUMPUR: Kenyataan bekas Peguam Negara, Tan Sri Tommy Thomas yang menyelar dua pentadbiran kerajaan selepas Pakatan Harapan (PH) tumbang pada 2020 sebagai telah menunjukkan kegagalan kerajaan yang didominasi etnik Melayu, boleh disiasat pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) di bawah Akta Hasutan.

- Advertisement -

Ini kerana kenyataan beliau dalam satu forum di Kuala Lumpur baru-baru ini menunjukkan ketidakprihatinan akan sensitiviti kepada perpaduan negara Malaysia  yang berbilang bangsa dan agama.

Pengerusi Gerakan Pembela Ummah (UMMAH), Mohd Zai Mustafa berkata demikian pada  sidang media UMMAH dan Majlis Perundingan Melayu (MPM), di sini, hari ini.

Turut hadir ialah Pengerusi Biro Politik dan kepimpinan MPM, Shahbudin Embun, veteran Tentera Udara Diraja Malaysia Mejar (B) Mior Rosli dan Waris Pekembar

“Sebagai bekas Peguam Negara,  Tommy sepatutnya mengetahui tentang undang-undang negara kerana ucapannya pada forum berkenaan adalah rasis dan  boleh menimbulkan suasana tidak aman dan tenteram dalam negara ini, serta boleh menimbulkan suasana kegawatan,” tegasnya. 

Mengulas lanjut, Zai berkata bahawa beliau telah membaca satu laporan daripada Timbalan Ketua Penerangan 1 Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk R. Ramanan yang juga tidak bersetuju dengan ucapan Tommy itu, kerana ia memberi liabiliti besar kepada parti-parti dalam Pakatan Harapan (PH) disebabkan impak ucapan Tommy Thomas yang dikhuatiri bersifat rasis dan menimbulkan suasana tidak harmoni dalam negara ini.

“Saya membuat laporan polis pada hari ini berhubung kenyataan Tommy Thomas pada Sabtu, 17 September 2022 dalam  Forum ‘Dark Forces towards GE15’ yang diadakan di Dewan Perhimpunan Cina Selangor. 

“Tujuan laporan polis ini dibuat adalah supaya beliau tidak menyentuh sensitiviti bangsa, kaum dan agama.

“Antara ucapan beliau yang menarik perhatian orang Melayu adalah beliau mengatakan bahawa kerajaan dominasi melayu hari ini dengan mimik wajah menghina, merupakan sebuah kerajaan yang gagal atau tidak berguna (useless) dan pada pandangan saya bahawa dia telah cuba mencemar nama bangsa Melayu,”  katanya.

Menurut Zai lagi, pihaknya marah apabila bekas Peguam Negara itu menyebut tentang bangsa (Melayu) dan menyentuh soal kaum (Melayu).

“Ini  kerana bagi pihak pertubuhan bukan kerajaan (NGO) segalanya merentasi parti politik dan terserah kepada kami ingin menyokong parti politik yang mana satu, tetapi (dalam kes Tommy Thomas)  soal menghina bangsa timbul, yang mana penghinaan kepada bangsa dalam negara merupakan satu perkara sensitif dan kesalahan dalam perlembangan.

“Kita tidak mahu mempermainkan isu bangsa kerana ia akan menimbulkan suasana yang lain,” tegasnya. 

Sehubungan itu, Zai meminta agar pihak polis melalukan siasatan terhadap perkara ini dan menasihati Tommy Thomas walaupun beliau pernah bergelar Peguam Negara sebelum ini agar di masa hadapan, beliau tidak lagi mengeluarkan ucapan menghina bangsa, agama dan kaum. 

“Saya akan memberi keterangan kepada Pegawai Penyiasat (IO) pada malam ini berkaitan dengan kes ini,” katanya. – HARAKAHDAILY 21/9/2022

- Advertisement -