Pemuda PAS Selangor siap sedia hadapi musim tengkujuh

- Advertisement -

SUSULAN kenyataan Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) mengenai ramalan cuaca hujan yang agak membimbangkan bermula September ini sehingga Mac tahun depan, seluruh kawasan rendah Negeri Selangor telah diletakkan dalam keadaan berjaga-jaga.

Ditambah dengan kenyataan Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari yang ingin mempertimbangkan mengisytiharkan Darurat Iklim di Selangor baru-baru ini berikutan fenomena air pasang besar yang dijangka mencecah setinggi 5.5 meter yang akan melanda Negeri Selangor terutama di kawasan Klang dan Kuala Selangor.

Kenyataan Menteri Besar Selangor ini mendapat pelbagai respon daripada netizen dengan penuh persoalan mengenai sejauh mana persediaan kerajaan negeri menghadapi banjir besar kali ini setelah dilihat gagal bertindak pantas semasa bencana banjir melanda Lembah Klang pada 18 Disember tahun lepas.

Pemuda PAS Selangor merasakan kenyataan Menteri Besar ini boleh menimbulkan situasi panik di kalangan rakyat, kerana pengisytiharan darurat bukan boleh dibuat sebelum kejadian tetapi yang sepatutnya kerajaan negeri perlu lakukan adalah menyatakan persediaan kerajaan dalam menyelenggara infra, memastikan langkah-langkah kawalan bencana banjir dilaksanakan segera dan latihan dan kemahiran pegawai kerajaan pada tahap maksima.

Pintu musim tengkujuh dijangkakan akan terbuka bila-bila masa ketika musim La Nina ini, namun rakyat dan para petani perlu mendapat maklumat tepat bagi persediaan awal mereka, dan rakyat perlu dinasihatkan tidak memilih untuk meletakkan diri dalam keadaan panik tetapi pilih untuk bersedia.

Sehubungan itu, Dewan Pemuda PAS Negeri Selangor melalui Sektor Tanggungjawab Sosial dan Khidmat Masyarakat (TSKM) telah mengarahkan seluruh jentera pemuda terutama anggota Jabatan Amal Malaysia Negeri Selangor, dan Lajnah-lajnah di bawah sektor TSKM diletakkan dalam keadaan bersedia memastikan seluruh aset diselenggara dan anggota mendapat latihan yang baik ketika ini.

MUHAMMAD HANIF JAMALUDDIN
Timbalan Ketua Pemuda
Ketua Sektor Tanggungjawab Sosial dan Masyarakat – HARAKAHDAILY 21/9/2022

- Advertisement -
- Advertisement -