Kelantan negeri terendah jumlah pengikrar derma organ

- Advertisement -

Oleh AIN MANAF

KOTA BHARU: Kesedaran pendermaan organ di Kelantan masih rendah dalam kalangan masyarakat di Kelantan menjadi antara faktor utama dicatatkan sebagai negeri terendah memiliki jumlah pengikrar derma organ.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan Negeri, Dr Izani Husin berkata, setakat ini hanya terdapat hampir 13,000 individu yang membuat pengikraran untuk mendermakan organ.

Bagaimanapun katanya, terdapat tiga operasi pemindahan organ dilakukan setakat ini di Kelantan bermula tahun 2006 dan yang terbaharu dilakukan pada Ogos 2022.

- Advertisement -

“Ada dalam kalangan masyarakat terutama yang beragama Islam masih ragu-ragu untuk menjadi penderma organ walaupun Majlis Fatwa Kebangsaan memutuskan pendermaan organ dan tisu adalah harus disebabkan ia memenuhi tuntutan memelihara nyawa manusia bahkan merupakan salah satu maqasid syariah.

“Malah, statistik menunjukkan Malaysia menjadi antara negara terendah mempunyai bilangan penderma organ di dunia semenjak 1977, jumlah penderma sebenar selepas kematian hanya 744 orang,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan majlis sambutan minggu kesedaran pendermaan organ peringkat negeri 2022 di AEON Mall, di sini, semalam.

Hadir sama, Pengarah Jabatan Kesihatan Kelantan, Dato’ Dr Zaini Hussin.

Dr Izani juga berkata, kerajaan memandang serius tentang perkara itu dan diharap kesedaran dan kadar penderma organ dapat ditingkatkan pada masa akan datang.

Oleh itu, kempen kesedaran giat sedang dilakukan dan diharap mampu menjadi sebahagian daripada usaha yang dapat memberi harapan dan sinar kepada 10,279 pesakit yang sedang menunggu organ daripada penderma.

“Justeru, pelbagai inisiatif dan langkah akan dilakukan bersama melalui agensi-agensi terlibat seperti Jabatan Kesihatan Negeri serta pertubuhan bukan kerajaan yang terlibat,” katanya. – HARAKAHDAILY 9/9/2022

- Advertisement -