Qatar hadapi kritikan tidak adil terhadap Piala Dunia

Ketua Eksekutif Qatar 2022, Nasser Al Khater
- Advertisement -

Susunan ZIAUDDIN SHARUDDIN

Qatar menghadapi banyak kritikan tidak adil berhubung penganjuran pertandingan bola sepak Piala Dunia yang tidak berdasarkan fakta, tetapi memberi maklum balas terhadap sebarang kritikan yang adil, kata Ketua Eksekutif Qatar 2022, Nasser Al Khater.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar pertama penganjur dalam tempoh beberapa bulan, 70 hari sebelum kejohanan bermula dengan kerja infrastruktur sukan dan pengangkutan di negara padang pasir kecil itu telah siap dan kerja yang tinggal adalah “estetik”.

- Advertisement -

Keputusan mengadakan Piala Dunia di Qatar, negara Timur Tengah pertama yang menjadi tuan rumah pertandingan itu, mendapat kritikan kumpulan hak asasi manusia berhubung layanan negara Teluk itu terhadap pekerja asing dan undang-undang sosial yang didakwa menyekat, termasuk mengharamkan homoseksual dan seks di luar perkahwinan.

“Kami berpendapat bahawa banyak kritikan adalah tidak adil, bukan berdasarkan realiti fakta. Apa sahaja yang kami rasa adalah kritikan yang adil, kami menerimanya,” kata Khater.

Beliau bercakap di Stadium Lusail, yang akan menjadi tuan rumah perlawanan akhir Piala Dunia. Arena berkapasiti 80,000 itu akan menganjurkan Piala Super Lusail, acara membabitkan jumlah penonton yang ramai hari ini, ujian utama terakhir bagi menghadapi Piala Dunia.

Bagaimanapun, penganjur Piala Dunia tidak mengulas beberapa perkara seperti pendekatan pihak berkuasa keselamatan Qatar terhadap peminat yang melanggar undang-undang seperti menyeludup alkohol ke dalam stadium atau bertindak ganas.

Penganjur juga tidak memberikan butiran lanjut mengenai negara lain yang akan menghantar pegawai polis atau askar ke Qatar untuk membantu memastikan keselamatan kejohanan yang bermula pada 20 November ini.

Lebih sejuta peminat dijangka menghadiri Piala Dunia dengan sebahagian besar datang menggunakan pengangkutan udara atau memandu dari negara Teluk berdekatan.

Doha menghabiskan masa bertahun-tahun untuk meningkatkan infrastruktur menjelang Piala Dunia, termasuk membina tujuh stadium baharu, sistem tren metro dan lebuh raya baharu.

Khater berkata, kos Piala Dunia Qatar adalah selaras atau kurang berbanding tiga yang terakhir.

- Advertisement -