Kane kejar rekod jaringan Shearer

Penyerang Tottenham Hostpur, Harry Kane
- Advertisement -

Susunan ZIAUDDIN SHARUDDIN

Penyerang Tottenham Hotspur, Harry Kane, meletakkan sasaran untuk mengejar rekod penjaring gol sepanjang zaman, Alan Shearer dalam Liga Perdana, selepas dua golnya menentang Nottingham Forest melonjakkannya ke tempat ketiga dalam carta penjaring.

Kane terlepas sepakan penalti, tetapi menjaringkan dua gol untuk melepasi 200 gol liga dalam kariernya ketika Spurs mengekalkan permulaan tanpa kalah musim ini dengan kemenangan 2-0 di City Ground, semalam.

- Advertisement -

Kapten England berusia 29 tahun itu hanya ketinggalan kepada Shearer (260) dan Wayne Rooney (208) yang menjaringkan lebih banyak gol dalam sejarah pertandingan.

“Perjalanan masih jauh lagi pastinya, tetapi saya masih berasa cergas. Saya mempunyai banyak lagi tahun yang tinggal untuk melakukannya,” kata Kane.

“Setiap musim, saya mahu menjaringkan gol. Saya mahu menjadi di kalangan nama-nama itu (penjaring terbanyak) dan teruja dengan cabaran itu.

“Alan dan Wayne adalah antara dua penyerang terbaik yang pernah England miliki. Jadi berada dalam senarai itu bagus untuk saya. Namun, saya mahu terus memaksa diri sendiri, melihat sejauh mana saya boleh pergi. Setakat ini, ia adalah permulaan yang baik musim ini.

Kemenangan ketiga daripada empat perlawanan meletakkan Tottenham di tangga ketiga kedudukan liga dengan 10 mata, dua mata di belakang saingan London utara, Arsenal.

Kane menjaringkan empat gol musim ini dan prestasinya menjadi kunci kepada permulaan terbaik Tottenham dalam kempen Liga Perdana sejak 2009-10, apabila membuka tirai dengan empat kemenangan berturut-turut.

Minggu lalu, Kane mencipta rekod Liga Perdana untuk gol terbanyak sebuah kelab, mengatasi jumlah gol Sergio Aguero untuk Manchester City.

“Harry perlu menjadi tempat rujukan kami di padang pada setiap saat. Dia perlu menjadi ketua pasukan ini dan saya fikir dia melakukannya dengan baik,” kata Pengurus Spurs, Antonio Conte.

“Dia terlibat sepenuhnya dalam kejayaan ini, dan saya sangat gembira untuknya.”

- Advertisement -