Benzema pemain terbaik, Ancelotti jurulatih terbaik UEFA

Karim Benzema (kiri) bersama Carlo Ancelotti, mengerima Anugerah UEFA
- Advertisement -

Susunan ZIAUDDIN SHARUDDIN

Penyerang Real Madrid, Karim Benzema dinobatkan sebagai Pemain Terbaik UEFA, manakala Carlo Ancelotti menerima penghormatan kejurulatihan selepas mereka membawa kelab Sepanyol itu menjulang kejuaraan Liga Juara-Juara ke-14 musim lalu.

Benzema berada dalam prestasi terbaik, menjaringkan 15 gol dalam pertandingan itu dan menjulang piala untuk kali kelima dalam kerjayanya selepas juara Sepanyol itu menewaskan Liverpool pada perlawanan akhir.

- Advertisement -

Ancelotti muncul jurulatih pertama memenangi piala paling berprestij Eropah sebanyak empat kali. Dia kali pertama memenangi gelaran itu bersama AC Milan pada 2003 dan 2007 sebelum bersama Real pada 2014.

Ketika ditanya perasaannya menjadi jurulatih paling berjaya dalam pertandingan itu, Ancelotti berkata: “Keghairahan saya terhadap sukan ini dan kualiti pemain.

“Hubungan antara pemain veteran dan muda pada musim lalu sangat hebat. Terdapat ramuan yang hebat dengan penyokong membantu kami mencapai kejayaan yang sukar dipercayai.”

Mengenai Benzema, Ancelotti berkata: “Karim bukan sahaja penyerang hebat dan penjaring terbanyak, dia pemain bola sepak menakjubkan, selain mempunyai sikap yang hebat hari demi hari.

“Berbanding tahun lalu, tahun ini dia meningkatkan pengetahuannya. Dia tahu permainan dengan sangat baik, cara menguruskan permainan. Dia seorang pemimpin yang kuat dalam bilik persalinan dan juga kawan baik saya. Kami bertuah kerana mempunyai Karim.”

Sementara itu jurulatih England, Sarina Wiegman yang berasal dari Belanda, dinamakan sebagai jurulatih wanita tahun ini selepas membantu mereka memenangi Kejohanan Eropah, menewaskan juara lapan kali Jerman pada perlawanan akhir untuk menjulang piala utama negara itu.

Wiegman menewaskan Sonia Bompastor dari Olympique Lyon dan Martina Voss-Tecklenburg dari Jerman untuk memenangi anugerah itu.

“Sungguh menggembirakan menerima anugerah hebat ini. Saya amat berbesar hati dan berasa rendah diri,” katanya.

“Anugerah ini benar-benar untuk semua orang yang terlibat dengan pasukan England, persatuan bola sepak, kakitangan dan sudah tentu yang paling penting, pemain. Terima kasih banyak-banyak.”

Pemain Barcelona, Alexia Putellas memenangi anugerah pemain wanita tahun ini, menewaskan pemain England, Beth Mead dan pemain Jerman, Lena Oberdorf.

Putellas yang memenangi anugerah itu dan Ballon d’Or tahun lalu, menjaringkan 34 gol untuk Barcelona musim lalu ketika kelab itu memenangi semua trofi domestik dan mara ke final Liga Juara-Juara.

Pemain berusia 28 tahun itu tidak bermain di Euro selepas koyak ligamen lututnya semasa latihan.

- Advertisement -