Selepas kemarau dan gempa bumi, banjir pula: 95 maut

- Advertisement -

Susunan YUSMAN AWANG

KABUL: Banjir kilat telah mengorbankan sekurang-kurangnya 95 orang termasuk lapan kanak-kanak, mencederakan ratusan yang lain, ramai lagi hilang dan menghanyutkan beribu-ribu kediaman di Afghanistan tengah dan timur pada minggu lalu.

Pihak berkuasa Afghanistan pada Selasa (23 Ogos), kematian berlaku di 10 wilayah sejak 10 hari lalu, ketika negara itu dilanda krisis ekonomi dan kemanusiaan yang diburukkan lagi oleh sekatan Barat yang dikenakan selepas Taliban kembali berkuasa tahun lalu, lapor CNN.

- Advertisement -

Agensi kanak-kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pula berkata, juga  pada Selasa (23 Ogos)  bahawa lebih ramai kanak-kanak hilang dalam banjir kilat besar yang melanda negara itu sejak minggu lalu itu.

Sehubungan itu, PBB telah mengerahkan pasukan tindak balas di timur Afghanistan untuk memberikan bantuan kepada beribu-ribu penduduk yang kehilangan tempat tinggal, ternakan dan tanaman, lapor Reuters pula.

Cuaca ekstrem juga muncul ketika negara jiran Pakistan itu mengalami banjir tanpa henti, dan pihak berkuasa pengurusan bencana di Afghanistan berkata bencana banjir telah membunuh 820 orang sejak pertengahan Jun, dengan hampir 320,000 rumah rosak atau musnah dan 129 jambatan terjejas.

Penduduk dilanda kesedihan dan fobia selepas banjir kilat yang memusnahkan beberapa kampung di Shinwari, di timur Afghanistan, pada 17 Ogos 2022. Wanita warga emas, Dilkhah kelihatan menangis, menggambarkan bagaimana dia telah kehilangan segala-galanya selepas banjir kilat menghanyutkan rumahnya. (FOTO The New York Times?Kiana Hayeri)

Jurucakap UNICEF di Afghanistan, Samantha Mort pula berkata, angka kematian kanak-kanak boleh meningkat, dan lebih ramai kanak-kanak hilang dan cedera dalam keadaan huru-hara akibat dilanda bencana alam yang berlaku tanpa diduga itu.

Afghanistan telah dilanda pelbagai bencana alam pada tahun ini, termasuk kemarau dan gempa bumi besar yang mengorbankan lebih 1,000 orang pada Jun lepas, dengan negara itu sebahagian besarnya terputus daripada sistem kewangan antarabangsa sejak Taliban mengambil alih setahun lalu.

Wabak penyakit bawaan air

Di kawasan luar bandar, kampung telah musnah dan beribu-ribu kehilangan ternakan dan tanaman mereka, memburukkan lagi krisis kebuluran negara. 

Pekerja bantuan UNICEF berkata, mereka bimbang dengan risiko wabak penyakit bawaan air seperti taun akibat air minuman yang tercemar.

Penduduk membersihkan sekitar kediaman mereka yang musnah dilanda banjir kilat di dearah Kushi, dalam wilayah Logar yang terletak di selatan Kabul, Afghanistan pada 21 Ogos 2022. (FOTO AP)

“Di bandar timur Jalalabad, kawasan bandar tengah tidak terlepas daripada kemusnahan. Air setinggi dua meter merobohkan dinding kediaman, memusnahkan harta benda dan meninggalkan lapisan lumpur tebal di seluruh kawasan penempatan penduduk yang ditenggelami air.

“Kami ingin menekankan betapa merosakkan banjir yang telah berlaku. … Begitu banyak infrastruktur telah terjejas, (termasuk) sekolah. Orang ramai telah berulang kali dipindahkan, mereka takut untuk kembali ke rumah lama mereka,” ujar Veronica Houser , seorang pekerja bantuan UNICEF di Jalalabad, Veronica Houser kepada Reuters,

Tambah Houser, seorang ibu di Jalalabad kehilangan tiga orang anak selepas deras air melanda rumah mereka pada malam minggu lalu, menyebabkan rumah mereka runtuh. 

Mangsa banjir yang kini memerlukan bantuan bagi meringankan beban yang ditanggung mereka selepas kediaman masing-masing musnah dilanda banjir kilat di daerah Khushi, dalam wilayah Logar, Afghanistan pada 21 Ogos 2022. (FOTO REUTERS)

“Dua anaknya yang masih hidup mengalami fobia,” katanya,  sambil menambah bahawa trauma dalam kalangan mangsa banjir di Afghanistan adalah membimbangkan dan UNICEF telah menghantar pasukan untuk memberikan sokongan kesihatan mental kepada keluarga yang paling teruk terjejas.

“Ia (fobia dalam kalangan mangsa bencana alam di Afghanistan) bukan sahaja berakhir dengan paras air surut,” tegas Houser.

Ketibaan musim sejuk 

Sementara di  Afghanistan, Timbalan Menteri Pengurusan Bencana, Mawlawi Sharafuddin Muslim memberitahu CNN  bahawa bantuan makanan kecemasan telah dihantar ke banyak kawasan yang dilanda banjir dan organisasi bantuan telah berjanji untuk menyampaikan bantuan kecemasan tetapi ia mungkin tidak mencukupi.

Pemandangan banjir kilat yang mengerikan di Barmal dalam wilayah Paktika, Afghanistan pada 3 Ogos 2022. (FOTO NRC) Assessment Team

“Musim sejuk akan tiba tidak lama lagi dan keluarga yang terjejas akibat banjir kilat termasuk wanita dan kanak-kanak kini tidak mempunyai tempat berteduh untuk didiami. 

“Semua ladang pertanian dan dusun mereka sama ada telah musnah sepenuhnya atau hasil tuaian mereka telah rosak.

“Jika mereka ini tidak dibantu untuk kembali normal, keadaan mereka pasti akan menjadi lebih teruk dalam beberapa minggu dan bulan akan datang,” kata Muslim.

Sehubungan oitu, Muslim menyeru organisasi bantuan PBB dan komuniti global untuk membantu warga Afghanistan yang terjejas banjir dengan bukan sahaja dari segi bantuan kecemasan seperti makanan, tempat tinggal dan ubat-ubatan, tetapi juga untuk membantu dalam jangka panjang kerana ramai orang kehilangan tempat tinggal, mata pencarian dan minuman serta sumber air bersih. – HARAKAHDAILY 24/8/2022

- Advertisement -