Pengambilan tanah: Di antara undang-undang dan realiti

- Advertisement -

PERUBAHAN sentiasa berlaku di bandar-bandar kita dengan kadar yang pantas. Selain dari pembangunan-pembangunan baharu yang tumbuh seperti cendawan selepas hujan, kemudahan-kemudahan baharu turut disediakan untuk menampung bilangan penduduk yang semakin meningkat. Lebuhraya-lebuhraya dan sistem pengangkutan yang baharu seperti MRT turut dibina. Begitu juga perkhidmatan-perkhidmatan lain untuk keperluan dan keselesaan penduduk.

Kawasan-kawasan bandar sudah tentu padat dengan pembangunan sedia ada dan penduduk. Ruang untuk pembangunan, kemudahan dan perkhidmatan baharu sudah tentu amat terhad. Justeru terdapat keadaan di mana pembangunan sedia ada seperti rumah-rumah penduduk terpaksa dikorbankan untuk memberi laluan kepada pembangunan, kemudahan atau perkhidmatan baharu tersebut.

Walau bagaimanapun pengambilan tanah tidak boleh dilakukan dengan sewenang-wenangnya. Perkara 13 Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan hak terhadap harta iaitu tiada seorang pun boleh dilucutkan hartanya kecuali mengikut undang-undang dan tiada undang-undang boleh memperuntukkan pengambilan atau penggunaan harta dengan paksa tanpa pampasan mencukupi. Akta yang digunakan untuk pengambilan tanah secara paksa (compulsory acquisition of land) adalah Akta Pengambilan Tanah 1960. Tanah sepertimana agama Islam dan air adalah di bawah bidangkuasa kerajaan negeri.

Walaupun Perlembagaan Persekutuan menetapkan ‘pampasan yang mencukupi’ perlu dibayar namun masalahnya bukan sekadar wang ringgit. Ketika saya adalah seorang ADUN di Selangor, satu projek lebuhraya telah menimbulkan kontroversi kerana akan mengambil 80 buah rumah kos rendah di dalam kawasan yang saya wakili. Rumah-rumah itu akan dirobohkan untuk dijadikan sebahagian dari laluan lebuhraya. Pemilik-pemilik rumah akan dibayar pampasan dan ketika itu ramai yang mula berangan-angan akan menjadi ‘orang kaya baharu’. Terdapat spekulasi bahawa setiap rumah akan menerima sehingga RM300,000.

Walau bagaimanapun kewarasan kembali menguasai pemikiran penduduk. Dengan pengambilan 80 buah rumah bermakna hampir separuh dari taman itu akan hilang. Surau di situ yang begitu aktif akan kehilangan separuh dari ahli kariah mereka. Sudah menjadi amalan di situ, setiap kali penduduk menganjurkan majlis kenduri kahwin mereka akan bergotong royong memasak di surau. Jika perancangan asal lebuhraya itu dilaksanakan masyarakat akan dipecahkan (the break up of the community).

Penduduk di situ telah menubuhkan satu jawatankuasa bertindak dan saya telah memberi sokongan kepada mereka. Akhirnya mungkin kerana saya adalah Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) ketika itu, cadangan untuk mengambil rumah-rumah itu telah dibatalkan. Saya telah turut mencadangkan laluan alternatif tetapi ia tidak dilaksanakan kerana melibatkan pembinaan bertingkat (elevated). Bahagian akhir lebuhraya itu tidak dilaksanakan hingga ke hari ini.

Dalam kes ini terdapat 2 pilihan. Pilihan pertama melibatkan rumah-rumah kos rendah tersebut. Pilihan kedua melibat kos yang lebih tinggi dan juga melalui berhampiran kawasan perumahan bukan kos rendah. Adakah keputusan untuk mengambil rumah-rumah kos rendah itu kerana dianggap penduduk di situ tidak akan membantah? Atau kerana penduduk tidak mengetahui saluran yang paling efektif untuk membuat bantahan? Mungkin juga ada yang menganggap pemilik rumah kos rendah senang digula-gulakan dengan pampasan yang dijanjikan. Tetapi jika dibina berhampiran dengan rumah-rumah bukan kos rendah akan berlaku bantahan.

Memang tidak dapat dinafikan pengambilan tanah akan berlaku bila terdapat pembangunan. Tetapi apakah sebenarnya pertimbangan-pertimbangan yang mempengaruhi keputusan untuk menentukan lokasi tanah-tanah itu? Adakah ia semata teknikal dan ekonomi (kos) semata-mata? Atau melibatkan pertimbangan politik dan sosial? Contohnya untuk laluan lebuhraya atau MRT, adakah laluan yang dicadangkan berdasarkan pertimbangan-pertimbangan teknikal dan ekonomi sahaja? Atau kawasan-kawasan yang berpotensi mencetuskan bantahan yang agresif jika tanah-tanah atau rumah-rumah diambil alih perlu dielakkan? Jadi jika terdapat pertubuhan atau persatuan seperti cawangan parti politik yang aktif dan berpengaruh di sesuatu lokaliti maka lokaliti seperti ini perlu dielakkan. Jika penduduk kelihatan lemah, tidak bersatu dan boleh dipecahkan maka lokaliti seperti ini yang bakal dikorbankan. Atau terdapat pimpinan tempatan yang boleh ‘dipujuk’. Kadang-kala hairan juga kenapa sesuatu kawasan yang padat dipilih tetapi kawasan yang tidak terdapat banyak pembangunan terselamat.

Untuk penduduk yang berjaya menyelamatkan 80 buah rumah di taman mereka, saya tidak menggunakan apa-apa akta atau undang-undang untuk berhujah. Kami berjaya menghalang pemegang konsesi melalui tekanan politik semata-mata. Walaupun terdapat akta dan undang-undang atau telah selesai segala proses kelulusan perancangan namun jika terdapat kesungguhan politik (political will) tidak ada yang mustahil dan tidak dapat dicapai. Walau bagaimanapun mereka yang terlibat perlu ada kesungguhan dan keberanian. Mungkin sekadar memorandum kepada mereka yang berkuasa sahaja tidak memadai. Saya pernah memberi pandangan kepada wakil penduduk yang rumah-rumah mereka akan diambil, jika 10,000 orang berarak ke Parlimen sudah tentu akan menarik perhatian seluruh dunia dan sudah tentu akan mewujudkan rasa gerun terhadap mereka. Di Selangor, lebuhraya pernah dibatalkan akibat bantahan penduduk maka sekadar menganjakkan laluan lebuhraya atau laluan MRT atau stesen MRT bukannya satu perkara yang besar.

DATO’ ISKANDAR ABDUL SAMAD
Ketua Penyelaras
Pusat Sumber Untuk Kemajuan Masyarakat Dan Perumahan (REACH) – HARAKAHDAILY 24/8/2022

- Advertisement -
- Advertisement -