IPOH: Pemuda PAS Negeri Perak kesal dengan penglibatan artis kontroversi yang akan memaksiatkan penganjuran program anak muda Karnival Gen Blu Yamaha berlangsung di Pantai Teluk Batik, Lumut hari ini.
Ketua Pemuda PAS Perak, Hafez Sabri berkata, program yang pada asalnya baik untuk menarik anak muda tidak sepatutnya rosak dengan kehadiran penyanyi dangdut yang sangat tidak senonoh.
“Sebenarnya boleh sahaja anak muda berkumpul atas semangat ukhuwah dan minat bersama.
“Tidak perlu melibatkan artis yang boleh mengundang pelbagai keadaan yang tidak baik untuk masyarakat,” katanya dalam satu hantaran di Facebook.
Menurut beliau, memastikan pengisian program yang bermanfaat adalah tanggungjawab penganjur.
“Mereka boleh contohi program-program ‘gathering’ besar anjuran pihak-pihak yang lebih beretika dan bertanggungjawab.
“Boleh juga contohi dan belajar bagaimana Kerajaan Negeri Kelantan, Terengganu dan Kedah anjur program-program besar melibatkan anak muda,” ujarnya.
Jelasnya, Islam tidak melarang hiburan termasuk kesenian dan kebudayaan yang boleh dipelihara selagi mana tidak melanggar syarak.
“Kami mencadangkan agar pihak berautoriti khususnya Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) menyediakan garis panduan program terutamanya yang melibatkan hiburan agar kemaksiatan dapat dibendung,” tambahnya lagi. – HARAKAHDAILY 20/8/2022
Acara maksiat rosakkan program anak muda
- Advertisement -