Konsert Hedonisme bukan budaya Malaysia

- Advertisement -

PEMUDA PAS menzahirkan kekecewaan atas penganjuran konsert oleh artis antarabangsa di Stadium Bukit Jalil, 18 Ogos 2022 yang lalu. Ternyata program bersifat Hedonisme ini tiada manfaat buat rakyat, dan hanyalah sebuah pembaziran yang nyata.

Kos pembelian tiket bagi konsert ini diletakkan dengan harga yang amat mahal, tetapi penonton mendapat persembahan yang tidak setimpal dengan harga yang dibayar. Berdasarkan keluhan dari penonton yang hadir menyaksikan konsert ini, kedudukan mereka diletakkan terlalu jauh dari pentas utama, dan sistem audio yang dipasang amat teruk.

Konsert Hedonisme yang berobjektifkan hiburan semata-mata tidak lebih sebagai sebuah projek pembodohan minda anak muda. Program-program sebegini hanya melahirkan sekelompok generasi yang leka dengan hiburan. 

Ditambah pula dengan keadaan hari ini, tatkala negara baru sahaja keluar dari pasca pandemik. Masih ramai anak muda yang terpaksa mengikat perut, mengalami tekanan sara hidup akibat cabaran ekonomi. Apakah konsert sebegini dilihat sebagai penyelesaian bagi semua permasalahan ini? 

Walaupun ramai pihak yang melemparkan kecaman kepada PAS atas penganjuran konsert ini, hakikatnya PAS membuktikan konsistensi PAS sebagai parti Islam yang mempertahankan nilai-nilai Islam di bawah negeri pentadbiran PAS. 

Pada malam yang sama dengan penganjuran konsert ini, Kerajaan PAS Terengganu telah melaksanakan program pengisian rohani dengan ikon dakwah Ustaz Azhar Idrus dan artis Zizan Razak yang telah dihadiri ribuan rakyat dan anak muda. Program ini ternyata lebih memberi impak dalam mengisi kekosongan jiwa anak muda, sekali gus memberikan mereka hiburan yang sesuai dengan garis syariat.

Sebagai respon terhadap konsert ini dan mendepani penganjuran konsert-konsert yang akan datang, Pemuda PAS akan menyusun sesi pertemuan dan perbincangan bersama Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKOMM) bagi menyatakan pendirian dan penolakan PAS terhadap konsert-konsert Hedonisme ini. 

Pemuda PAS juga sekali lagi mendesak KKOM supaya Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) dan JAKIM mesti dilibatkan dalam menyusun garis panduan hiburan dan penganjuran konsert, supaya pelaksanaannya tidak bertentangan dengan syariat. 

PAS akan terus bertindak berlandaskan kuasa yang ada, serta apa yang termampu dalam menegakkan amar makruf nahi mungkar di negara tercinta ini.

USTAZ AFNAN HAMIMI TAIB AZAMUDDEN
Timbalan Ketua
Dewan Pemuda PAS Malaysia – HARAKAHDAILY 20/8/2022

- Advertisement -
- Advertisement -