ASEAN perlu kekalkan status quo sebagai rantau bebas konflik dan senjata nuklear

- Advertisement -

LAWATAN Speaker Dewan Perwakilan Amerika Syarikat Nancy Pelosi ke Taiwan awal bulan ini dan terbaharu lawatan delegasi lima ahli Dewan Senat dan Dewan Perwakilan Amerika Syarikat yang diketuai oleh Senator Ed Markey ke Taiwan awal minggu ini telah menghangatkan lagi pertembungan geopolitik antara China dan Amerika Syarikat di Indo Pasifik terutamanya di Laut China Selatan.

- Advertisement -

Susulan daripada dua lawatan tersebut, tentera China telah mula mengadakan latihan ketenteraan berskala besar di sekeliling Taiwan samada di darat, laut dan udara di mana China mempertahankan polisi “Satu China“ iaitu Taiwan adalah sebahagian daripada China sebagaimana yang dipersetujui oleh Amerika Syarikat pada 1972 termasuk juga majoriti negara-negara di dunia.

Lawatan tersebut dianggap mencabuli perjanjian atau “joint communique“ antara China dan Amerika Syarikat pada 1972 termasuk juga mencabuli kedaulatan China, Oleh itu sebagai tindakbalas, tentera China mengadakan latihan ketenteraan di sekeliling Taiwan sebagai amaran bukan sahaja kepada Amerika Syarikat tetapi kepada mana-mana negara yang cuba mencabuli polisi “ Satu China “.

Keadaan di Indo Pasifik sebenarnya telah mula hangat apabila AUKUS mula ditubuhkan pada 15 September 2021. AUKUS ialah perjanjian kolaborasi pertahanan antara tiga buah negara iaitu Australia, Amerika Syarikat dan Britain di rantau Indo – Pasifik.

Selain daripada itu, penubuhan AUKUS juga akan memperkukuhkan lagi kerjasama ketenteraan secara menyeluruh antara tiga negara tersebut yang mana tujuan utamanya adalah untuk mengekang perluasan pengaruh kuasa, politik dan ketenteraan China di Indo Pasifik yang dilihat sebagai ancaman utama kepada Barat.

China dan Rusia mengecam penubuhan AUKUS dengan menyatakan bahawa penubuhan AUKUS akan mendatangkan ketidakstabilan kepada Indo Pasifik sekaligus akan menyaksikan perlumbaan persenjataan di rantau tersebut terutamanya senjata nuklear kerana dengan termenterainya AUKUS, Australia akan membeli lapan buah kapal selam nuklear daripada Amerika Syarikat.

Setelah termenterianya AUKUS, dunia mula menyaksikan kekerapan kapal-kapal perang dari Barat seperti dari Amerika Syarikat, Britain, Kanada, Jerman dan Perancis mula memasuki Indo Pasifik terutamanya kapal perang dan kapal pengangkut pesawat dari Amerika Syarikat yang mula berlegar di perairan berdekatan Taiwan.

Memburukkan keadaan, kapal-kapal perang Amerika Syarikat tersebut belayar di Selat Taiwan yang menjadi perairan yang begitu sensitif antara China dan Taiwan yang mengakibatkan China mengecam tindakan tersebut sebagai cubaan menimbulkan provokasi oleh Amerika Syarikat.

Dengan keadaan antara China – Amerika Syarikat – Taiwan ketika ini yang nampak semakin meningkat ketegangannya, ia sudah tentu akan menimbulkan keresahan kepada negara-negara Asean termasuk Malaysia dalam mengimbangi keadaan geopolitik semasa terutamanya apabila membabitkan China dan Amerika Syarikat.

Kecenderungan kepada salah satu daripada dua kuasa besar dunia tersebut akan mengakibatkan Asean akan menerima akibat samada secara langsung mahupun tidak langsung, samada baik atau buruk kerana Asean mempunyai hubungan yang baik terutamanya dari segi ekonomi dan politik dengan dua kuasa besar dunia tersebut.

Dalam krisis Ukraine, majoriti negara Asean telah memaparkan “sikap tidak berpihak“ mahupun mengecam tindakan Rusia yang mengadakan operasi ketenteraan di Ukraine di mana ia menambahkan lagi kebimbangan negara Asean dalam menghadapi senario ketegangan geopolitik di Indo Pasifik yang membabitkan China dan Amerika Syarikat.

Amerika Syarikat acapkali mendesak China supaya mengutuk tindakan Rusia di Ukraine namun menerima jawapan hambar dari China di mana ia menambahkan lagi ketegangan antara China dan Amerika Syarikat. Malah ahli-ahli politik Amerika Syarikat kerapkali mendakwa bahawa China secara tidak langsung membantu Rusia ketika ini terutamanya untuk melepasi sekatan ekonomi yang dikenakan Barat ke atas Rusia.

Insiden lawatan sebilangan ahli politik dari Amerika Syarikat ke Taiwan baru-baru ini turut menerima kecaman daripada Rusia terutamanya daripada Presiden Rusia Vladimir Putin. Putin mendakwa lawatan tersebut adalah provokasi yang dirancang dengan teliti oleh Barat dan melabelkan Nancy Pelosi sebagai ahli politik yang tidak bertanggungjawab.

Malah terdapat kenyataan dari Rusia bahawa jika berlaku perang di Taiwan, Rusia akan membantu China dalam peperangan tersebut. Insiden di Taiwan ini menurut ramai penganalisa geopolitik dunia sebenarnya merapatkan lagi hubungan China dan Rusia yang mana ia secara tidak langsung akan mengangkat BRICS yang akan muncul sebagai kuasa baharu menentang order neo liberal dunia ciptaan Barat.

Namun apa sebenarnya yang berlaku ketika ini tidak hanya membabitkan Indo Pasifik dan Ukraine tetapi keseluruhan dunia secara amnya. Ia membabitkan pertembungan antara China, Rusia dan sekutunya dengan Amerika Syarikat dan negara-negara Barat.

Satu pihak iaitu Barat ingin mempertahankan kuasa hegemoninya yang sudah semakin usang dan lemah. Manakala China, Rusia dan sekutunya pula ingin menolak Barat yang dianggap “mentadbir“, memanipulasi dan menjarah dunia secara tidak adil, mengikut kemahuan dan hanya menguntungkan mereka.

Namun bagi Asean, adalah perlu untuk mengekalkan status quo yang sedia ada, terus mempertahankan sikap tidak berpihak dan mengelakkan rantau Asean daripada sebarang konfrantasi mahupun mengelak daripada Asean menjadi medan konfranstasi bagi mana-mana pihak terutamanya oleh kuasa-kuasa besar dunia.

Kerana jika senario-senario di atas tidak dielakkan, Asean akan berhadapan dengan situasi yang amat buruk samada untuk jangka masa pendek mahupun panjang. Oleh itu adalah amat penting bagi Asean mengekalkan sikap tidak memihak kepada mana-mana kuasa besar dunia dan terus bersikap berkecuali atau “neutral“.

Asean perlu bertegas dalam keadaan sebegini dan memaparkan sikapnya kepada mana-mana kuasa besar dunia agar Asean terus selamat, makmur dan mempunyai masa depan yang amat baik kerana Asean amat bergantung kepada setiap negara anggotanya untuk kemakmuran ekonomi, politik dan hubungan baik sesama negara Asean.

Asean juga perlu bertegas kepada dunia bahawa rantau ini perlu dikekalkan bebas daripada senjata pemusnah nuklear dan usah jadikan Asean sebagai medan pencetus konfrantasi terutamanya di Laut China Selatan kerana Laut China Selatan adalah sumber ekonomi utama kebanyakkan negara-negara Asean terutamanya sebagai laluan perdagangan dan perikanan.

Dengan memaparkan pendirian sebegini, Asean dilihat mampu mengharungi keadaan geopolitik semasa yang semakin genting di Indo Pasifik ketika ini. Kemakmuran dan keamanan yang dikecapi oleh Asean selama ini perlu dipertahan, dikekalkan dan dipelihara demi untuk masa depan Asean yang lebih terjamin dimasa hadapan.

Islam Menyatukan Umat.

YB USTAZ MUHAMMAD KHALIL ABDUL HADI
Pengerusi Lajnah Hal Ehwal Antarabangsa dan Hubungan Luar PAS Pusat.
ADUN Batu Buruk. – HARAKAHDAILY 20/8/2022

- Advertisement -