100 juta rakyat AS bakal ‘dibakar’ haba melampau

- Advertisement -

Susunan ZULHAIDI MANSOR

CHICAGO: Lebih 100 juta rakyat Amerika Syarikat akan hidup dengan kepanasan yang melampau menjelang tahun  2053 seterusnya membawa risiko kesihatan baharu apabila krisis iklim yang dijangka merebak dan meliputi keseluruhan negara itu.

Kajian saintifik yang telah dibuat menjangkakan sekurang-kurangnya satu hari setahun, yang mana indeks haba mencecah 52 darjah celsius di kawasan cuaca panas yang sangat panas, yang dilabelkan sebagai ‘tali pinggang haba melampau’, lapor TRT World

- Advertisement -

Penyelidikan yang dijalankan oleh pertubuhan bukan kerajaan (NGO), First Street Foundation mendapati haba yang melebihi ambang kategori tertinggi Perkhidmatan Cuaca Negara, yang dikenali sebagai ‘Bahaya Melampau’, atau melebihi 51.7C, dijangka akan memberi kesan kepada 8.1 juta populasi AS menjelang 2023, sebelum berkembang kepada 107 juta orang pada 2053, yang merupakan  peningkatan sebanyak 13 kali ganda.

Ia akan merangkumi wilayah geografi yang terbentang dari utara Texas dan Louisiana ke Illinois, Indiana, dan Wisconsin serta  kawasan pedalaman yang jauh daripada cuaca lebih sederhana yang sering didapati berhampiran pantai.

Fenomena kepanasan melampau di Amerika Syarikat adalah impak daripada pemanasan global. (FOTO ABC News)

Indeks haba, juga dikenali sebagai suhu ketara, ialah suhu luar yang sebenarnya dirasakan oleh tubuh manusia apabila kelembapan relatif digabungkan dengan suhu udara.

NBC News melaporkan haba melampau yang menjangkau sejauh utara Chicago sedang terbentuk, koridor yang merentasi tengah negara dan akan menjejaskan lebih 107 juta orang dalam tempoh 30 tahun akan datang, menurut data baharu mengenai risiko haba negara.

Menurut laporan itu, penduduk AS akan mengalami suhu indeks haba melebihi 125 darjah Fahrenheit menjelang 2053 dan keadaan yang lebih biasanya ditemui di Lembah Kematian California atau di bahagian Timur Tengah.

Peta menunjukkan perbandingan jangkaan kawasan dengan suhu cuaca yang sangat panas yang dilabelkan sebagai ‘tali pinggang haba melampau’ di Amerika Syarikat pada 2023 berbanding 2053. (FOTO Kion.456.com)

Unjuran itu adalah sebahagian daripada model haba melampau yang baru dikaji semula oleh First Street Foundation, yang menunjukkan bahawa kebanyakan negara akan mengalami peningkatan dalam bilangan hari dengan suhu indeks haba melebihi 100 darjah celcius dalam tempoh 30 tahun akan datang akibat perubahan iklim .

“Semua orang dipengaruhi oleh peningkatan haba, sama ada peningkatan mutlak dalam hari berbahaya atau ia hanya hari panas tempatan,” kata Ketua Pegawai Penyelidik First Street Foundation, Jeremy Porter, yang juga seorang profesor dan pengarah kaedah kuantitatif dalam sains sosial di City University New York.

Sementara Dailymail.co.uk melaporkan bahawa First Street Foundation sedang menyusun kajian dengan memeriksa paras gas rumah hijau semasa ditambah dengan data alamat khusus untuk meramalkan arah aliran suhu.

Seorang pelawat, Greg Berndt mengambil swafoto ketika termometer menunjukkan suhu mencecah 131 darjah Fahrenheit (55 darjah Celsius) di Pusat Pelawat Furnace Creek di Death Valley, California, Amerika Syarikat pada 17 Ogos 2020. (FOTO Reuters)

Kumpulan saintis yang terlibat dalam penyelidikan itu sedang meneliti faktor-faktor seperti litupan pokok di kawasan kejiranan, dengan jarak rumah dengan tempat letak kereta dan turapan, ketinggian, dan kehampiran badan air.

Kajian itu mendapati bahawa tali pinggang haba, walaupun biasanya bukan kawasan yang dikaitkan dengan haba melampau, akan mengalami peningkatan haba yang ketara kerana lokasi pedalamannya yang ‘tiada pengaruh pantai untuk mengurangkan suhu melampau.’

Gelombang haba berbahaya merentangi sebahagian besar Amerika Syarikat dengan suhu dalam tiga digit dari Barat ke Selatan ke Timur ketika panas terik yang tidak henti-henti terus melanda Eropah ditunjukkan pada 21 Julai 2022. (FOTO ABC News)

Oleh kerana penduduk di kebanyakan kawasan yang terlibat tidak dapat menyesuaikan diri dengan cuaca yang lebih panas berbanding iklim biasa dalam rutin kehidupan mereka, risiko kesihatan yang dihadapi berkaitan impak haba melampau akan menjadi lebih besar potensinya.

Hasil kajian itu dibuat oleh First Street Foundation berpangkalan di New York itu adalah sebagai sebahagian daripada siri laporan berterusan yang bertujuan untuk menunjukkan kepada rakyat AS tentang bagaimana tempat tinggal mereka boleh dipengaruhi oleh perubahan iklim, khususnya impak fenomena pemanasan global yang makin ketara pada ketika ini. – HARAKAHDAILY 16/8/2022

- Advertisement -