Muhammad Shah tumpu kejohanan dunia, sasar final keirin

JOHOR BAHRU: Pelumba berbasikal trek negara Muhammad Shah Firdaus Sahrom menyasarkan untuk sekurang-kurangnya layak ke final acara keirin Kejohanan Berbasikal Trek Dunia di Perancis pada Oktober depan.

Beliau berkata kejohanan dunia keempat buat dirinya itu memang mencabar bukan sahaja kerana penampilan pertamanya dalam acara keirin di kejohanan berkenaan tetapi juga disebabkan ketiadaan jaguh negara Datuk Azizulhasni Awang.

“Saya berlumba di peringkat antarabangsa sudah sekian lama, dan ini kejohanan dunia keempat saya, jadi harap dapat sesuatu yang positif kali ini.

Advertisement

“Bagi kejohanan kali ini sprint (pecut) dan keirin, keirin pertama kali (berentap dalam kejohanan dunia). Sebelum ini saya banyak fokus acara sprint untuk layak ke Olimpik dan keirin Datuk Mohd Azizulhasni berlumba, jadi selepas ini saya kena fokus untuk keirin juga,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Penyampaian Insentif Kemenangan Atlet Johor Sukan SEA Vietnam 2021, Sukan Komanwel Birmingham 2022 dan Penyampaian Bantuan Pentadbiran Badan-Badan Gabungan MBNJ 2022, di sini malam tadi.

Atlet kelahiran Muar berusia 26 tahun yang meraih gangsa acara keirin di Sukan Komanwel Birmingham 2022 itu berkata beliau akan cuba sedaya upaya dan mahu mencabar dirinya untuk ke final acara keirin.

“Untuk keirin, pertama sekali saya memang kena fokus untuk ke final, tetapi tengok daripada Sukan Komanwel Birmingham baru-baru ini kebanyakan pelumba di situ akan ada di kejohanan dunia.

“Jadi insya-Allah saya akan lakukan yang terbaik, selepas balik dari Birmingham saya berlatih tanpa henti dan banyak fokus dari segi kepantasan…perlumbaan macam-macam boleh berlaku, jadi kita tengok bagaimana nanti,” katanya.

Ketika ditanya mengenai pandangan beliau sebagai pengganti dan pelapis Mohd Azizulhasni, Muhammad Shah berkata tiada sesiapa boleh menggantikan atlet yang diberi julukan The Pocket Rocketman itu.

“Untuk menggantikan tempat Mohd Azizulhasni Awang memang tidak akan ada pengganti, dia adalah satu-satunya dan tiada pengganti.

“Cuma kita ini akan meneruskan legasi dia dan generasi seterusnya pelumba berbasikal trek,” katanya.

Pada 5 Ogos lepas, Mohd Azizulhasni menerusi hantaran di laman Facebooknya, mengucapkan tahniah atas kejayaan Muhammad Shah meraih gangsa dan persoalan mengenai siapa bakal menjadi pengganti dirinya sudah terjawab menerusi kejayaan itu. – BERNAMA