Rangkaian 5G liputi 80 peratus akhir 2024

Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa
- Advertisement -

Oleh ZIAUDDIN SHARUDDIN

KUALA LUMPUR: Kementerian Komunikasi dan Multimedia (K-KOMM) menyasarkan peluasan rangkaian 5G meliputi 80 peratus liputan di kawasan berpenduduk pada penghujung tahun 2024.

Menterinya, Tan Sri Annuar Musa, berkata pelaksanaan rangkaian 5G dijalankan secara berfasa, bermula di kawasan yang mempunyai aktiviti ekonomi yang tinggi kerana kelebihan teknologi 5G lebih memberi impak kepada sektor perusahaan dan industri.

- Advertisement -

Katanya, fokus K-KOMM ialah menjadikan Malaysia sebagai hab ICT selaras dengan inisiatif MyDIGITAL yang bertujuan mentransformasi Malaysia menjadi negara berpendapatan tinggi yang berpacukan pendigitalan agar negara menjadi peneraju serantau dalam ekonomi digital.

“K-KOMM memberi tumpuan kepada aspek utama, iaitu pengukuhan infrastruktur komunikasi, menarik pelaburan digital, membina tenaga kerja serta modal insan dalam sektor teknologi digital.

“Bagi memperkukuh ekosistem kesalinghubungan, K-KOMM melaksanakan Pelan Jalinan Digital Negara atau JENDELA bagi memperluaskan liputan dan mempertingkatkan kualiti perkhidmatan jalur lebar secara menyeluruh melalui pelbagai inisiatif serta mempersiapkan negara bagi peralihan kepada teknologi 5G,” katanya di Dewan Negara, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Senator Mohd Apandi Mohamad yang meminta Menteri Komunikasi dan Multimedia menyatakan langkah-langkah untuk menjadikan Malaysia sebagai hab ICT di Asia Tenggara.

Senator Mohd Apandi Mohamad

Dari aspek pelaburan digital, Annuar berkata K-KOMM melalui Malaysia Digital Economy Corporation (MDEC) memainkan peranan penting untuk menarik pelaburan digital.

Katanya, strategi dan perancangan lima tahun (2021-2025) MDEC bertumpu kepada lima teras utama untuk menarik pelaburan dan memajukan ekonomi digital negara.

“Teras berkenaan ialah fokus terhadap sektor yang digalakkan, iaitu sembilan bidang tumpuan inisiatif Malaysia Digital dan lapan pemboleh teknologi, menarik pelaburan RM50 bilion dan mewujudkan 50,000 peluang pekerjaan dalam industri digital.

“Selain itu, menarik 50 syarikat teknologi Fortune 500 untuk beroperasi di Malaysia dan menarik lima syarikat unicorn global beroperasi di negara ini,” katanya. – HARAKAHDAILY 15/8/22

- Advertisement -