Selesaikah masalah lompat parti?

- Advertisement -

Oleh ZIAUDDIN SHARUDDIN

Sokongan lebih dua pertiga oleh 52 Ahli Dewan Negara terhadap Rang Undang-Undang (RUU) Perlembagaan (Pindaan) (No. 3) 2022 pada Selasa lalu, bermakna lengkaplah proses penggubalan undang-undang antilompat parti di peringkat Parlimen.

Sebelum itu di Dewan Rakyat, 209 Ahli Parlimen mengundi menyokong yang juga melebihi dua pertiga, sekali gus mencerminkan kebijaksanaan Ahli Parlimen untuk tidak melawan arus. Mungkin ada yang tidak bersetuju, tetapi natijahnya besar melawan suara rakyat.

Dari segi proses undang-undang, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar, menyatakan bahawa RUU itu yang selesai proses kelulusan di Parlimen akan dikembalikan kepada Jabatan Peguam Negara.

- Advertisement -

Katanya, ini diikuti dengan dipersembahkan kepada Yang di-Pertuan Agong, bagi memohon perkenan Baginda seperti diperuntukkan mengikut Perkara 66(3) Perlembagaan Persekutuan.

Sebaik RUU itu diperkenankan Yang di-Pertuan Agong, Jabatan Peguam Negara sekali lagi akan mempersembahkan permohonan untuk mendapatkan perkenan Baginda supaya RUU ini dapat dikuatkuasakan.

Wan Junaidi menjangkakan RUU itu dapat dikuatkuasakan tidak lewat dari pertengahan September akan datang, iaitu kira-kira sebulan dari sekarang.

Ini bermakna undang-undang antilompat parti akan dapat dikuatkuasakan terhadap Ahli Parlimen yang menang dalam Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-15 akan datang.

Sudah tentu ramai yang tertunggu-tunggu untuk melihat situasi ketika itu, terutama dengan perkembangan politik semasa yang menunjukkan tiada lagi parti politik akan muncul dominan seperti yang dinikmati Barisan Nasional (BN) selama kira-kira 60 tahun.

Jika selepas PRU-14, bukan hanya Ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang melompat menyertai parti lain, malah parti politik melompat dari satu blok ke blok politik lain hingga menyebabkan kecelaruan politik yang menggugat kestabilan politik negara.

Namun dengan penguatkuasaan undang-undang antilompat ini, Ahli Parlimen tidak lagi boleh melompat dari satu parti ke parti lain.

Namun, selesaikah masalah lompat parti? Tidak juga sepenuhnya kerana mengikut Wan Junaidi, pindaan Perlembagaan ini tidak mentakrifkan tindakan sesuatu parti politik yang keluar dari satu gabungan dan menyertai gabungan lain sebagai tindakan bertukar parti.

Katakan selepas PRU Ke-15 akan datang, gabungan parti politik A kekurangan tiga kerusi untuk membentuk kerajaan, tindakan yang boleh dilakukan ialah menarik parti lain yang mempunyai tiga kerusi atau lebih untuk menyertai gabungan itu.

Gabungan parti politik A tidak boleh menarik Ahli Parlimen secara individu kerana tindakan itu ditakrifkan sebagai lompat parti dan perlu mengosongkan kerusinya.

Ini bermakna percaturan politik selepas keputusan PRU-15 diumumkan tetap boleh berlaku, terutama dalam keadaan tiada satu pun gabungan parti politik mencapai kemenangan mutlak.

Era pasca PRU-14 menyaksikan kewujudan pelbagai gabungan parti politik, iaitu Perikatan Nasional (PN), Pakatan Harapan (PH), Barisan Nasional (BN), Gabungan Parti Sarawak (GPS) dan ini tidak termasuk parti yang tidak menganggotai mana-mana gabungan seperti Warisan, Pejuang dan parti-parti tempatan Sabah.

Kemungkinan pertama yang boleh berlaku apabila PN, BN dan PH sebagai gabungan parti politik utama tidak mendapat cukup kerusi untuk membentuk kerajaan, gabungan berkenaan akan mencari parti-parti lain sehingga jumlah yang kerusi yang cukup dapat dicapai.

Ini yang menyebabkan mengikut sebuah laporan akhbar berbahasa Inggeris, Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke, tidak menolak kerjasama dengan Umno kerana ‘segala perkara mungkin dalam politik’.

Bagaimanapun, katanya jika wujud sebarang kerjasama, itu hanya akan berlaku selepas PRU akan datang. Saya tidak akan menolak apa-apa kerana yang penting kita (semua parti) mesti berasaskan agenda,” katanya menyatakan bahawa DAP terbuka untuk bekerjasama dengan mana-mana pihak yang melaksanakan agenda yang sama.

Selain kerjasama sesama gabungan parti politik utama, kemungkinan kedua ialah gabungan parti politik utama bekerjasama dengan parti politik kecil yang mempunyai jumlah kerusi diperlukan.

Walaupun beberapa negeri lebih awal meminda Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri untuk menghalang perbuatan lompat parti, tetapi masih perlu diselaraskan dengan pindaan terbaharu Perlembagaan Persekutuan.

Ini yang menyebabkan Wan Junaidi berkata, penyelarasan di peringkat Dewan Undangan Negeri perlu dibuat supaya tidak ada percanggahan dari sudut Perlembagaan Persekutuan.

Tanpa pindaan di peringkat negeri, drama lompat parti akan terus berlaku seperti selepas PRU-14 lalu. Setakat ini, beberapa kepemimpinan negeri menyuarakan tekad untuk melakukan pindaan itu dan rakyat perlu berdoa agar tekad itu diterjemahkan dalam bentuk tindakan.

Pada masa sama, parti politik juga perlu membuat pindaan terhadap Perlembagaan parti masing-masing supaya tindakan yang diambil bagi menangani lompat parti selaras dengan Perlembagaan Persekutuan. – HARAKAHDAILY 12/8/22

- Advertisement -