SKSSR: Optimumkan perlindungan suri rumah

- Advertisement -

PADA sesi perbahasan Rang Undang-undang Keselamatan Sosial Suri Rumah (SKSSR) baru-baru ini, saya berpeluang mencadangkan beberapa perkara berkaitan RUU ini bagi memastikan segala keperluan dan kebajikan golongan mulia ini tidak diabaikan. 

Antara cadangan yang telah dibangkitkan adalah berkenaan perluasan tafsiran suri rumah kepada golongan lelaki. Hal ini demikian kerana, realiti lelaki bergelar suri rumah sepenuh masa kini bukan lagi perkara asing dan mula diterima dalam kalangan masyarakat. 

Selain itu, saya juga mencadangkan agar lebih banyak inisiatif yang dilaksanakan kerajaan bagi menarik lebih ramai suami untuk mencarum dalam Skim Keselamatan Sosial Suri Rumah (SKSSR). Tidak dinafikan, pelbagai kempen kesedaran telah dijalankan oleh PERKESO antaranya melalui aktiviti Skuad Prihatin, program Sosial Sinergi dan lain-lain lagi.

Namun begitu, masih ramai golongan suami yang culas untuk mengambil peluang ini bagi mencarum kepada isteri mereka. Walau bagaimanapun, saya berpendapat kerajaan perlu mengkaji semula nilai caruman sebanyak RM120 sebulan kerana jumlah tersebut agak membebankan terutama kepada golongan B40. 

Hal ini demikian kerana, saya kira masih ramai suami yang berkira-kira untuk mencarum RM120 sebulan berikutan lebih banyak keutamaan yang lebih mustahak untuk dipenuhi, lebih-lebih lagi dalam tempoh negara sedang berhadapan dengan krisis inflasi kini. 

Justeru, besar harapan saya agar kerajaan mampu menormalisasikan skim perlindungan agar kemaslahatan rakyat terjamin walaupun di mana sahaja mereka berada. 

Jelas sekali, inisiatif ini selari dengan prinsip Islam yang sentiasa menggalakkan setiap individu sentiasa berusaha dan berikhtiar bagi memastikan kesejahteraan dan aspek kebajikan dapat dioptimumkan khususnya melalui perlindungan sosial.

YB SENATOR USTAZAH NURIDAH MOHD SALLEH
Ahli Dewan Negara – HARAKAHDAILY 12/8/2022

- Advertisement -
- Advertisement -