Sistem MyWalet dilancarkan di MAHA 2022

- Advertisement -

PAGI ini saya melancarkan Sistem MyWalet Bagi Industri Sarang Burung Walet Malaysia di MAEPS, Serdang sempena MAHA 2022. 

Sistem MyWalet yang merupakan satu sistem pendaftaran bagi sepanjang rantaian industri sarang burung walet dalam negara bermula daripada sektor perladangan sarang burung walet sehingga ke peringkat eksport.

Sistem MyWalet ini menggunakan pendekatan secara atas talian (online) sepenuhnya, bermula daripada proses permohonan sehingga ke kelulusan permohonan oleh Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS). 

Diharap agar Sistem MyWalet ini terus berjaya dalam memastikan mutu kualiti serta keselamatan produk sarang burung walet terjamin sekali gus mempergiatkan lagi usaha semua pihak meningkatkan potensi produk sarang burung walet kepada pasaran lebih luas.

Industri sarang burung walet merupakan antara sektor pertanian yang popular dalam kalangan usahawan yang berpotensi untuk terus berkembang dan menjadi sumber kekayaan negara yang baharu serta mampu meraih harga tinggi di pasaran.

Berikutan perkembangan pesat dalam sarang burung walet, Kerajaan telah bersetuju dan meluluskan lebih 2,000 pengambilan kuota pekerja asing bagi industri sarang burung walet ini. 

Hal Ini kerana industri sarang burung walet telah menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi dan industri memerlukan sejumlah pekerja yang agak besar dalam setiap kilang pembersihan sarang burung walet sebelum ia dieksport. 

Sekiranya industri ini terus kekurangan pekerja, ia bakal memberikan kesan kepada kuantiti dan kualiti produk yang dihasilkan dan secara tidak langsung boleh menjejaskan eksport sarang burung walet. 

Usaha-usaha MAFI melalui DVS akan terus memperkukuh sektor burung walet negara sebagai sebuah industri yang mampan dan berdaya saing.

DATUK SERI DR RONALD KIANDEE
Menteri Pertanian dan Industri Makanan – HARAKAHDAILY 12/8/2022

- Advertisement -
- Advertisement -