Ringgit tidak ditambat kepada Dolar AS

- Advertisement -

Oleh ZIAUDDIN SHARUDDIN

KUALA LUMPUR: Kerajaan melalui Bank Negara Malaysia (BNM) tidak bercadang untuk menambat ringgit kepada dolar Amerika Syarikat (AS) kerana langkah itu mempunyai risiko dan penggantian yang besar.

Menteri Kewangan, Senator Datuk Seri Utama Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz, berkata tindakan itu bukan dasar yang terbaik untuk ekonomi Malaysia yang jika dilaksanakan menyebabkan negara perlu mengikut sepenuhnya dasar monetari negara yang mata wangnya menjadi ‘rujukan’ atau asas bagi tambatan ringgit.

- Advertisement -

Sebagai contoh, katanya jika ringgit ditambat kepada dolar AS dan jika kadar faedah Rizab Persekutuan meningkat sebanyak 325 mata asas (atau 3.25 peratus) secara keseluruhan pada 2022, maka Kadar Dasar Semalaman (OPR) juga perlu dinaikkan pada kadar yang sama walaupun Malaysia berada pada tahap pemulihan ekonomi dan tekanan inflasi yang berbeza berbanding AS.

“Dalam hal ini, Malaysia akan menghadapi kekangan untuk menetapkan dasar monetari dan rakyat terpaksa menanggung kos pembiayaan yang tinggi walaupun keadaan ekonomi negara kita tidak sama seperti AS.

“Jika langkah tambatan dilaksanakan, ia perlu dilengkapi dengan langkah kawalan modal bagi mengelakkan pengaliran keluar modal. Namun begitu, tindakan ini akan menjejaskan keyakinan pelabur asing terhadap Malaysia,” katanya di Dewan Negara, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Senator Ir Md Nasir Hashim yang meminta Menteri Kewangan menyatakan adakah Kementerian Kewangan akan menetapkan nilai pertukaran Ringgit Malaysia dengan Dolar AS bagi menstabilkan ringgit.

Tengku Zafrul berkata, kadar pertukaran ringgit yang fleksibel ketika ini adalah dasar yang penting bagi mengimbangi keperluan untuk menyerap kejutan luaran dengan kepentingan untuk menyokong aktiviti ekonomi domestik, meskipun dalam keadaan pasaran kewangan dan kadar pertumbuhan ekonomi global yang tidak menentu.

Sehubungan itu, katanya kerajaan menerusi BNM akan memastikan keadaan pasaran kewangan yang stabil dan lancar, serta mengambil langkah proaktif untuk memastikan kecairan yang mencukupi serta pasaran yang berdaya tahan dan mendalam untuk mencegah ketidakstabilan nilai ringgit.

Katanya, pemantauan berterusan juga dilaksanakan oleh BNM untuk memastikan keadaan yang teratur dalam pasaran pertukaran asing dan mengelakkan turun naik yang ketara dalam kadar pertukaran ringgit.

“Kerajaan akan terus menguruskan risiko perkembangan domestik dan luaran, manakala BNM bersedia menggunakan instrumen dasar operasinya bagi memastikan keadaan yang teratur dalam pasaran pertukaran asing untuk mengelakkan turun naik yang ketara dalam kadar pertukaran ringgit.

“Saya juga ingin menekankan di sini bahawa kekuatan mata wang sesebuah negara juga bergantung kepada asas-asas ekonomi yang kukuh,” katanya.

Beliau berkata, pada asasnya, ekonomi negara kekal di landasan yang kukuh, disokong oleh permintaan domestik dan luaran yang teguh serta harga komoditi global yang meningkat dan ini dicerminkan oleh Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada suku pertama tahun ini yang meningkat sebanyak lima peratus dan dijangka terus berkembang lebih baik pada suku kedua. – HARAKAHDAILY 11/8/22

- Advertisement -