Diusir di sempadan Greece: Kanak-kanak Syria maut

Kumpulan pelarian Islam dari Syria yang kini terkandas di sungai Evros di sebuah pulau kecil di Greece. (Twitter/@g_christides)
- Advertisement -

Susunan  ZULHAIDI MANSOR

ATHENS, Greece: Seorang kanak-kanak perempuan Syria berusia 5 tahun yang merupakan sebahagian daripada kumpulan pelarian, dipercayai telah meninggal dunia di sungai Evros di sebuah pulau kecil di Greece.

Ibu bapa kanak-kanak kecil itu dikatakan menenggelamkan mayat anak mereka  itu ke dalam air sungai  berkenaan untuk memastikan mayatnya sejuk, agar tidak dikesan pihak berkuasa Greece, lapor agensi berita, News 3D.

- Advertisement -

“Mereka yang masih hidup di pulau berkenaan dengan jenazah gadis itu berkata, kanak-kanak itu meninggal dunia pada awal pagi Selasa (waktu Greece)  selepas disengat kala jengking, dua hari selepas mereka terkandas di sana.

“Seorang lagi kanak-kanak perempuan, berusia sembilan tahun, kini berada dalam keadaan kritikal. Dia juga difahamkan telah disengat kala jengking,” lapor News 3D.

Mereka adalah sebahagian daripada kumpulan 40 orang pencari suaka, beberapa orang daripadanya terkandas buat kali kedua di pulau yang tidak diketahui namanya itu selepas berulang kali dituduh sebagai penghadang antara Turkiye dan Greece.

Seorang daripada kumpulan pelarian Islam itu, dikenali sebagai Baida, 27, juga dari Syria, telah menghantar mesej kepada media sejak kematian itu dilaporkan.

“Seorang gadis sudah meninggal dunia. Seorang kanak-kanak. Dia telah mati. Tiada apa yang boleh saya lakukan,” katanya dalam nota suara WhatsApp, lapor News 3D lagi.

Baida turut memuatnaik  gambar seorang kanak-kanak yang matanya tertutup rapat, berbaring di atas rumput di pulau itu.

Dalam mesej lain, dia mempersoalkan mengapa kanak-kanak itu tidak mendapat sebarang bantuan.

“Tiada siapa yang mendengar suara kami. Jika anda mendengar suara kami, bantulah kami,” rayu Baida.

Sempadan darat Evros adalah titik persimpangan yang kerap bagi pencari suaka di Eropah, tetapi banyak laporan telah mencatatkan protes ganas Greece dalam beberapa bulan kebelakangan ini, serta insiden orang awam yang dipaksa menyeberangi sempadan oleh pihak berkuasa Turkiye.

Pelarian dan pendatang yang terkandas itu, tambah News 3D ketika ini masih berada di pulau berkenaan. 

Pihak berkuasa Greece dimaklumkan tentang lokasi mereka dan aktivis membuat panggilan kecemasan kepada polis bagi pihak mereka, tetapi pihak berkuasa berkata mereka tidak dapat mengesan kumpulan pelarian itu.

Dalam pada itu, Middle East Eye melaporkan sekumpulan lebih 40 pencari suaka Syria itu telah terkandas selama dua minggu di sungai Evros di pulau kecil yang terletak bersempadan dengan Turki, tanpa akses kepada makanan, air atau rawatan perubatan.

Kumpulan pelarian itu memberitahu kumpulan hak asasi manusia bahawa mereka memasuki Greece dari Turkiye, sebelum dihalau ke pulau itu oleh pihak berkuasa Greece. 

“Semasa dihalau, tiga lelaki maut, seorang akibat dipukul teruk dan dua orang akibat lemas di  dalam sungai selepas pihak berkuasa Greece mengusir kumpulan pelarian itu kembali ke pulau kecil itu,” lapor pula agensi media tempatan, Efsyn.

“Pada  waktu ini, terdapat seorang wanita hamil, tujuh kanak-kanak bawah umur, dan seorang wanita tua yang menghidap diabetes berada dalam kumpulan pelarian itu.

“Kesemua 40 pelarian Syria itu tidak diterima di sempadan antara Turkiye dan Greece. Selepas dihalang masuk ke Turkiye buat kali pertama, kumpulan kedua menyertai kumpulan pertama,” ujar laporan Efsyn.

Dalam pada itu, Mahkamah Hak Asasi Manusia Eropah dilaporkan telah mengeluarkan perintah yang menyatakan bahawa pencari suaka yang terkandas tidak boleh meninggalkan wilayah Greece dan mereka mesti dibekalkan dengan makanan, air dan rawatan perubatan penuh.

Terdahulu, dalam mesej melalui telefon, kumpulan pelarian itu menjelaskan nasib malang mereka yang menjadi mangsa percaturan geopolitik kedua-dua Greece dan Turkiye, merentasi sempadan darat oleh pihak berkuasa kedua-dua buah negara selama berminggu-minggu di kawasan sempadan, yang mana tiada sebarang pertubuhan hak asasi manusia atau wartawan dibenarkan masuk secara sah ke situ.  – HARAKAHDAILY 11/8/2022.

- Advertisement -