Gangguan bekalan air di 397 kawasan – Air Selangor

KUALA LUMPUR: Sejumlah 397 kawasan di tiga wilayah Petaling, Kuala Lumpur dan Hulu Langat mengalami gangguan bekalan air bermula 10 pagi hari ini susulan henti tugas sementara Loji Rawatan Air Langat 2 (LRA Langat 2) pada 4.30 pagi tadi.

Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) dalam kenyataan memaklumkan gangguan bekalan air itu berikutan insiden pencemaran bahan kimia di Sungai Semantan, Pahang akibat kes kemalangan di Lebuhraya Karak-Bentong semalam.

Advertisement

Menurut kenyataan itu, kawasan yang terjejas terdiri daripada 172 di Kuala Lumpur, Hulu Langat (222 kawasan) dan Petaling (tiga kawasan).

“LRA Langat 2 dijangka mula beroperasi semula pada 3.30 petang ini bagi membolehkan proses rawatan air mentah dimulakan.

“Bekalan air terawat akan mula disalurkan kepada para pengguna secara berperingkat apabila sistem agihan bekalan air telah distabilkan. Bantuan alternatif melalui lori tangki akan digerakkan kepada para pengguna dengan keutamaan diberikan kepada premis-premis kritikal,” menurut kenyataan itu.

Air Selangor juga sedang mengambil segala usaha bagi meminimumkan impak gangguan kepada pengguna yang terjejas dan akan memaklumkan perkembangan dari semasa ke semasa.

Dalam perkembangan lain, Air Selangor memaklumkan kesemua 188 kawasan di Wilayah Hulu Selangor yang terjejas berikutan kerja-kerja penambahbaikan dan penyenggaraan aset di LRA Sungai Rasa (Selasa lepas) telah pulih sepenuhnya 3 pagi tadi.

“Air Selangor ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada para pengguna atas kesabaran dan kerjasama diberikan sepanjang tempoh gangguan bekalan air berjadual ini,” menurut kenyataan itu.

Para pengguna disarankan untuk mendapatkan maklumat rasmi gangguan bekalan air menerusi semua medium komunikasi rasmi Air Selangor iaitu aplikasi Air Selangor, Twitter, Facebook, Instagram dan laman sesawang www.airselangor.com. – BERNAMA