IWK, EMB Business jalin kerjasama terokai penghasilan etanol, biogas

Tuan Ibrahim (tengah), Narendran (kanan) dan Nur Idatun Nissa pada majlis Memorandum Persefahaman (MoU) antara IWK dan EMB Business di Pejabat Operasi Langat, IWK, Cyberjaya pada 8 Ogos 2022. (FOTO HARAKAHDAILY/Muhammad Zharif Zulkiflee)
- Advertisement -

Oleh NORHANA MAT ZIN

CYBERJAYA: Syarikat pembentungan nasional, Indah Water Konsortium (IWK) Sdn. Bhd. menjalinkan kerjasama dengan sebuah syarikat tempatan, EMB Business Sdn. Bhd. (EMB Business) bagi mempelopori penghasilan etanol dan biogas daripada pemprosesan air kumbahan bagi tujuan komersial.

Sehubungan, IWK  telah menandatangani satu Memorandum Persefahaman (MoU) dengan EMB Business di Pejabat Operasi Langat, IWK., di sini, pada hari  ini, yang disempurnakan Menteri Alam Sekitar dan Air, Dato’ Seri Tuan Ibrahim Tuan Man.

- Advertisement -

Sehubungan itu, Tuan Ibrahim mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan dan jutaan terima kasih kepada pihak IWK dan EMB Business atas usaha yang dilakukan dalam jalinan kerjasama ke arah kejayaan ekonomi kitaran negara. 

Beliau berkata, Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA) telah mensasarkan objektif penting dalam Pelan Kelestarian Alam Sekitar Malaysia 2020-2030. 

“Pelan strategik ini merangkumi elemen alam sekitar, sosial, tadbir urus dan turut mengintegrasi matlamat pembangunan mampan berdasarkan empat teras utama. 

“Salah satu teras yang penting ialah mengadakan kolaborasi strategik dengan pemegang taruh bagi memastikan agenda kelestarian alam sekitar dapat diperkukuhkan secara kolektif.

Mesin canggih yang digunakan IWK untuk memproses air kumbahan. (FOTO HARAKAHDAILY/Muhammad Zharif Zulkiflee)

“Mustahil agenda kelestarian boleh dicapai oleh usaha KASA secara persendirian tanpa memerlukan dukungan semua pihak termasuk orang awam. Paling penting adalah peranan semua pihak dalam memastikan aspirasi ini tercapai,” ujarnya. 

Turut hadir ialah Timbalan Menteri Alam Sekitar dan Air,  Dato’ Mansor  Othman; Timbalan Ketua Setiausaha (Air dan Pembentungan) Kementerian Alam Sekitar dan Air, Dr. Ching Thoo Kim; dan Ketua Pegawai Eksekutif Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara, Dato’ Ahmad Faizal Abdul Rahman.

Pada majlis berkenaan, IWK diwakili Ketua Pegawai Eksekutif (CEO), Narendran Maniam, manakala Pengarah Urusan, Nur Idatun Nissa Mohamad Nor hadir sebagai wakil EMB Business.

Sehubungan itu, tambah Tuan Ibrahim, KASA amat komited untuk meningkatkan tahap kualiti perkhidmatan pembentungan di Malaysia selaras dengan Matlamat Pembangunan Lestari ke-6 iaitu memastikan akses kepada air bersih dan sanitari untuk semua. 

Tuan Ibrahim mengucapkan tahniah di atas dengan kerjasama antara IWK dan EMB Business untuk memperluaskan potensi penggunaan air kumbahan bagi penghasilan produk biogas dan bio-alkohol.  (FOTO HARAKAHDAILY/Muhammad Zharif Zulkiflee)

Menurutnya, komitmen itu merupakan hak asasi untuk semua lapisan rakyat tanpa mengira kaum, agama, ideologi politik dan sempadan geografi.  

Beliau juga turut memberitahu, bahawa sektor pembentungan merupakan salah satu komponen kritikal yang dapat dikenalpasti untuk merealisasikan Transformasi Sektor Air 2040. 

“Oleh itu, sejumlah RM5.1 bilion telah diperuntukkan di bawah Rancangan Malaysia (RMK) ke-11 dan disusuli dengan RM1.75 bilion lagi dalam Rolling Plan 1 dan Rolling Plan 2 di bawah RMK ke-12 bagi melaksanakan projek-projek pembentungan di seluruh negara.

“IWK juga telah menghasilkan 2.97 bilion meter padu setahun air kumbahan yang dirawat dan dilepaskan ke sungai. Sementara itu, enap cemar yang terhasil pula telah dibuang ke tapak pelupusan. 

“Namun demikian, sejak 2015 IWK telah mempelopori pelbagai teknologi hijau dalam menuju ke arah penggunaan semula bi-produk iaitu air kumbahan sebagai sumber air dan tenaga baharu,” jelas beliau. 

IWK kini menjalinkan kerjasama dengan sebuah syarikat tempatan, EMB Business bagi mempelopori penghasilan etanol dan biogas daripada pemprosesan air kumbahan bagi tujuan komersial. (FOTO HARAKAHDAILY/Muhammad Zharif Zulkiflee)

Beliau menambah bahawa dengan termeterainya perjanjian tambahan kepada Perjanjian Konsesi Perkhidmatan Pembentungan yang diberikan pihak kerajaan kepada IWK, ia telah membolehkan syarikat menjalankan beberapa usaha penting dalam mempelopori potensi perniagaan bukan tarif.

“Antaranya seperti penghasilan air pulih guna daripada efluen terawat, menjana tenaga boleh baharu dan menghasilkan baja yang bukan digunakan untuk tanaman daripada produk sampingan biopepejal.”    

Tuan Ibrahim berkata, IWK dan EMB Business telah menjalankan kajian rintis di Loji Rawatan Kumbahan Cyberjaya bermula pada bulan Jun 2022. 

“Kajian mendapati setiap 15 liter kumbahan mentah mampu hasilkan 15 peratus gas butanol untuk penggunaan bahan bakar gas memasak serta sumber bahan api bagi kegunaan dapur mudah alih. 1.5 peratus etanol pula dapat digunakan dalam bidang perubatan dan bahan api untuk kenderaan.

“Model ekonomi kitaran dalam air kumbahan terawat telah ditumpukan kepada konsep kitar dan guna semula, pemulihan tenaga serta nutrien dan pemulihan tenaga serta gas. 

“Air kumbahan pula digunakan sebagai sumber kepada nutrien dan karbon dalam pemprosesan produk seperti etanol, aseton, butanol dan bio-penggumpal,” ujarnya.

Susulan itu, beliau sangat gembira dengan kerjasama antara IWK dan EMB Business untuk memperluaskan lagi potensi penggunaan air kumbahan bagi penghasilan produk biogas dan bio-alkohol. 

Bahagian dalaman mesin cangguh yang digunakan IWK dalam pemprosesan air kumbahan. (FOTO HARAKAHDAILY/Muhammad Zharif Zulkiflee)

Secara tidak langsung, tambah beliau lagi, kerjasama yang dijalankan itu dapat menyumbang kepada kerancakan ekonomi kitaran dan seterusnya dapat mengurangkan lagi negara kepada kebergantungan kepada sesuatu sumber sahaja. 

“Oleh itu, bagi menjayakan hasrat ke arah pertumbuhan ekonomi hijau, adalah diharapkan lebih ramai pihak lain yang turut tampil melaksanakan inisiatif-inisiatif dalam ekonomi kiraran seperti yang telah ditunjukkan oleh IWK selama ini,” katanya. 

Sementara itu, Narendran berkata, IWK sentiasa cuba memanfaatkan teknologi hijau dan proses inovasi untuk menukar sisa kepada sumber ekonomi kitaran baharu.

Pada masa sama, ujar beliau, pihaknya sedang membuat analisis kos pembinaan sistem teknologi itu secara besar-besaran, di samping meneroka peluang dengan pembeli utama seperti pengendali sanitiser dan dalam bidang perubatan.

“Kami menjangka bakal mempunyai kilang yang mampu mengeluarkan produk yang dijual sepenuhnya kepada pelanggan dalam tempoh tiga tahun kerana kami memerlukan pembeli bagi pihak bank atau institusi kewangan dalam membina sistem berskala besar,” katanya.

Dalam pada itu, Nur Idatun Nissa pula memberitahu bahawa kedua-dua IWK dan EMB Business telah bekerjasama dengan Universiti Teknologi MARA untuk menghasilkan cecair beralkohol pada suhu bilik, yang terhasil secara langsung daripada air sisa.

“Ini telah mengubah fakta kimia sedia ada, lebih-lebih lagi kini proses penghasilan gas butana bukan lagi hanya melalui kilang penapisan petroleum. Ia sudah tentu membuka mata pemain industri terhadap pengeluaran tenaga boleh diperbaharui seperti ini,” katanya. – HARAKAHDAILY 8/8/2022

- Advertisement -