MAIDAM agih RM120 juta zakat sejak Jan 2022

- Advertisement -

KUALA BESUT: Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM) telah mengagihkan sebanyak RM120 juta wang zakat sejak Januari hingga Julai tahun ini kepada golongan memerlukan.

Ketua Pegawai Eksekutif MAIDAM Prof Madya Dr Ahmad Azrin Adnan berkata sebanyak 70 peratus daripada jumlah tersebut diagihkan kepada asnaf, fakir dan miskin di negeri ini.

“Selebihnya merupakan bantuan lain seperti bantuan kepada mangsa bencana ribut, kebakaran, banjir dan sebagainya.

- Advertisement -

“Seboleh-bolehnya MAIDAM mahu agihkan zakat dan bantuan melebihi daripada kutipan zakat yang diterima,” katanya kepada Bernama selepas menyampaikan bantuan kepada mangsa ribut kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Besut di Kampung Pangkalan Atap di sini hari ini.

Seramai 296 ketua keluarga menerima bantuan RM200 seorang membabitkan agihan keseluruhan berjumlah RM59,200 susulan kerosakan rumah akibat kejadian ribut itu pada bulan lepas.

“DUN Kuala Besut menyaksikan bilangan mangsa paling tinggi. Dua minggu lepas MAIDAM menyampaikan bantuan sama kepada mangsa ribut di Hulu Terengganu berjumlah RM26,700.

“Selain itu, MAIDAM juga mendapati mangsa kebakaran di negeri ini menunjukkan peningkatan tahun ini berbanding tahun lepas,” katanya.

Dalam pada itu, Ahmad Azrin berkata MAIDAM menyasarkan kutipan zakat sebanyak RM230 juta iaitu peningkatan 15 peratus pada tahun ini berbanding RM205 juta pada tahun lepas.

Beliau berkata peningkatan kadar kutipan itu bagi menampung keperluan kira-kira 21,187 orang asnaf, fakir dan miskin di seluruh Terengganu. – BERNAMA

- Advertisement -