Usul lanjutkan Subseksyen 4(5) SOSMA diluluskan

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin
- Advertisement -

Oleh ZIAUDDIN SHARUDDIN

KUALA LUMPUR: Usul untuk melanjutkan Subseksyen 4(5) Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA) untuk tempoh lima tahun lagi, diluluskan di Dewan Rakyat, hari ini.

Bagaimanapun usul itu terpaksa melalui proses undian belah bahagian yang keputusannya menunjukkan 111 Ahli Parlimen menyokong, manakala 88 Ahli Parlimen tidak menyokong dan 21 Ahli Parlimen tidak hadir.

- Advertisement -

Hasil keputusan selepas perbahasan hangat, usul itu membolehkan Kementerian Dalam Negeri (KDN) melanjutkan kuat kuasa Subseksyen 4(5) SOSMA untuk tempoh lima tahun lagi mulai 31 Julai ini

Usul tersebut dibentangkan semula oleh Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin selepas Dewan Rakyat pada minggu lalu, meluluskan usul membatalkan keputusan dewan pada 23 Mac lalu.

Ketika pembentangan usul itu, hari ini, Hamzah berkata subseksyen itu perlu dilanjutkan bagi menangani ancaman terhadap kedaulatan negara, keselamatan dan ketenteraman awam.

Subseksyen itu antaranya menyebut: seorang pegawai polis yang berpangkat Penguasa Polis atau berpangkat lebih tinggi daripada Penguasa Polis boleh melanjutkan tempoh tahanan untuk tempoh yang tidak lebih daripada 28 hari, bagi maksud penyiasatan.

“Kita tidak boleh berkompromi dengan anasir-anasir yang mengancam keselamatan negara dan tugas Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta semua agensi keselamatan di negara ini adalah bagi memastikan negara aman dan selamat untuk didiami,” katanya ketika membentangkan usul itu.

Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz (BN-Padang Rengas) sebagai pembahas pertama yang menyokong usul itu menyifatkan SOSMA sebagai alat untuk membantu pihak berkuasa menjaga keamanan serta kedaulatan negara.

Bagaimanapun, beliau meminta Kementerian Dalam Negeri (KDN) tidak mengenepikan mana-mana pihak yang menjadi mangsa jenayah berkenaan.

“Undang-undang yang digubal di negara kita adalah untuk melindungi rakyat, namun ia tidak langsung diberi perhatian dalam perbahasan kita.

“Sudah tentu kita ingat peristiwa di Sabah (pencerobohan kumpulan Sulu), mangsanya orang kampung yang tidak berdosa serta pasukan keselamatan yang terkorban. Tidakkah kita juga perlu memikirkan soal mangsa,” katanya. – HARAKAHDAILY 26/7/22

- Advertisement -