BERIKUTAN siri konflik hidupan liar Gajah-Manusia di Pos Kemar yang semakin meruncing, satu perbincangan khusus telah diadakan hari ini di Kuala Kangsar.
Turut hadir Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Temengor, YB Salbiah Mohamed, Pengarah Perhilitan Perak, Tuan Yusoff Shariff, Pengarah JAKOA Negeri Perak, Tuan Harulnizam Abd Rahman, Wakil Jabatan Perhutanan, Pegawai Daerah Pejabat Daerah dan Tanah Hulu Perak, Timbalan Ketua Polis Ibu Pejabat Polis Daerah Gerik, Pengurus Eko Rimba Hijau Sdn Bhd, Pengurus Projek Management and Ecology of Malaysian Elephants (MEME) dan wakil-wakil RPS Kemar.
Perbincangan mencari solusi dan langkah terbaik bagi menjaga habitat hidupan liar tersebut dan keselamatan penduduk orang asli di sana.
Namun, dikhabarkan… semakin banyak gajah-gajah yang memasuki kawasan perumahan dan menyelongkar kawasan penyimpanan makanan, kebun dan tempat pembuangan sampah.
Dikhuatiri akan mengancam nyawa penduduk di situ sekiranya berlaku ketegangan antara penduduk dan gajah.
Berdasarkan rekod Jabatan, sebanyak 11 ekor gajah liar telah ditranslokasi dari lokasi gangguan ke habitat yang lebih selamat pada tahun 2020. Jumlah ini adalah merangkumi seluruh Negeri Perak.
Manakala dari 11 ekor gajah liar tersebut, 6 ekor adalah kumpulan gajah daerah Hulu Perak atau Gerik, 5 ekor dari kumpulan Sungai Siput atau Kuala Kangsar.
Apabila pihak Jabatan menerima aduan gangguan gajah, kakitangan Jabatan di daerah yang berkenaan akan segera menghubungi pengadu dan siasatan ke lokasi gangguan akan dijalankan dengan segera.
Kakitangan akan menilai jenis dan tahap gangguan yang berlaku. Hasil dari penilaian tersebut, tindakan susulan akan diambil berdasarkan keadaan lokasi, jumlah gajah yang membuat gangguan dan juga beberapa faktor teknikal seperti kekuatan anggota, cuaca dan kemudahan pengangkutan.
Tindakan pertama yang akan dilakukan adalah dengan melepaskan tembakan halau, di mana kakitangan akan menembak ke atas untuk menakutkan gajah liar tersebut, seterusnya ia akan membuatkan gajah tersebut masuk semula ke dalam habitat mereka.
Jika kaedah tembakan halau tidak berkesan, kakitangan akan merancang untuk melakukan translokasi gajah tersebut.
Proses translokasi gajah biasanya mengambil masa 7-15 hari, bergantung kepada faktor-faktor yang dinyatakan seperti di atas.
Bagi perancangan jangka masa panjang pula, Jabatan PERHILITAN Negeri Perak dalam proses menubuhkan Perak Elephant Sanctuary (PES).
PES adalah inisiatif kerajaan dalam mengawal dan menangani masalah gangguan gajah liar berfungsi untuk menempatkan gajah liar yang terkeluar dari kumpulan, sakit, tua dan yang sering membuat gangguan di Kawasan punduduk setempat.
YB MOHD AKMAL KAMARUDIN
Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Alam Sekitar, Sains dan Teknologi Hijau Negeri Perak – HARAKAHDAILY 26/7/2022
Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!
Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!