Sensitiviti agama terhakis boleh undang bala Allah

- Advertisement -

ISU berkenaan dengan sensitiviti agama semakin tular sejak kebelakangan ini. Bermula dengan wanita yang mengaku menghafal 15 juzuk al-Quran namun dengan berani membuka baju di khalayak ramai, bahkan beberapa hari kemudian muncul pula seorang lelaki yang menghina Nabi Muhammad dan hari ini seorang penganggur di penjara akibat menghina agama.

Perbuatan ini jelas sekali sensitiviti masyarakat hari ini terhadap penjagaan kesucian agama Islam semakin terhakis. Sedangkan umum mengetahui, agama Islam adalah agama Persekutuan sebagaimana yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan Perkara 3(1). 

Tindakan yang menggugat agama Islam ini boleh mengundang bala Allah yang bukan sahaja menimpa kepada pelaku bahkan turut boleh menimpa kepada keseluruhan masyarakat umum. Sebagai mana sejarah Islam banyak menukilkan kisah teladan dan pengajaran dari umat terdahulu yang dibinasakan. 

Antaranya peristiwa banjir terbesar dalam sejarah manusia yang berlaku kepada kaum Nabi Nuh seperti mana firman Allah dalam surah al-Qamar ayat 12;

- Advertisement -

وَّفَجَّرْنَا الْاَرْضَ عُيُوْنًا فَالْتَقَى الْمَاۤءُ عَلٰٓى اَمْرٍ قَدْ قُدِرَ

Dan Kami jadikan bumi menyemburkan mata-mata air maka bertemulah (air-air) itu sehingga (meluap menimbulkan) keadaan (bencana) yang telah ditetapkan”

Begitu juga dengan kisah Kaum Saba’ yang ingkar dengan arahan Allah sehingga mengakibatkan runtuhnya empangan Ma’arib yang digunakan sebagai sumber air dan pengairan tanah pertanian kaum terbabit. Kisah-kisah ini jelas membuktikan bahawa bala Allah yang datang menimpa kesemua masyarakat tanpa pengira pelaku ataupun tidak.

Sebagai mana firman Allah dalam surah al-Anfal ayat 25;

وَٱتَّقُواْ فِتۡنَةٗ لَّا تُصِيبَنَّ ٱلَّذِينَ ظَلَمُواْ مِنكُمۡ خَآصَّةٗۖ وَٱعۡلَمُوٓاْ أَنَّ ٱللَّهَ شَدِيدُ ٱلۡعِقَابِ

Dan jagalah diri kamu daripada (berlakunya) dosa (yang membawa bala bencana) yang bukan sahaja akan menimpa orang-orang yang zalim di antara kamu secara khusus (tetapi akan menimpa kamu secara umum). Dan ketahuilah bahawa Allah Maha berat azab seksaNya.”

Oleh itu, saya menyeru agar masyarakat di luar sana untuk bersama-sama menjaga sensitiviti agama dan lebih peka akan perkara yang berkait dengan agama agar kita tidak mengundang bala dari yang Maha Esa.

Selain itu, saya juga menggesa agar pihak kerajaan mengambil serius akan setiap perbuatan yang menyentuh sensitiviti agama khususnya demi menjaga keharmonian negara.

“Islam Menyatukan Ummah”

YB SHAHARIZUKIRNAIN ABDUL KADIR
Ahli Parlimen Setiu – HARAKAHDAILY 26/7/2022

- Advertisement -