Fasa terakhir haji 1443H: Jemaah tinggalkan Arafah

Kira-kira sejuta jemaah telah mula bergerak kembali ke Mina melalui Muzdalifah sebagai persiapan untuk peringkat akhir ibadah haji di Mekah, Arab Saudi pada 8 Julai 2022. (FOTO Arab News)
- Advertisement -

Susunan YUSMAN AWANG

ARAFAH: Kira-kira sejuta jemaah telah bergerak kembali ke Mina melalui Muzdalifah sebagai persiapan untuk peringkat akhir haji mereka oada tahun 2022 yang bersamaan dengan 1443 Hijrah ini, selepas terlebih dahulu menyaksikan khutbah dan berwukuf di padang Arafah pada awal pagi Jumaat (8 Julai).

Waktu wukuf di Arafah adalah bersamaan waktu Zohor di Mekah pada jam 12.26 tengah hari yang bersamaan 5.26 petang waktu di Malaysia.

Melaungkan “Labbaik Allahumma Labbaik (Ya Tuhan, ini aku menyahut panggilan-Mu)…,” para jemaah berduyun-duyun pagi ini ke Masjid Namirah di Arafah, kira-kira 15 kilometer di timur Mekah, lapor Saudi Gazette, selepas menghabiskan satu malam bertafakur di khemah Kota Mina.

- Advertisement -

Ahli Majlis Ulama Kanan dan Setiausaha Agung Liga Dunia Muslim (MWL), Sheikh Muhammad Al-Issa menyampaikan khutbah Arafah di Masjid Namirah. Khutbah itu menyerupai khutbah perpisahan Nabi Muhammad S.A.W ketika baginda menunaikan haji pertama baginda.

Dalam khutbah tersebut, Syeikh Al-Issa menyeru semua umat Islam untuk mematuhi apa yang diperintahkan Allah S.W.T dan menjauhi apa yang dilarang-Nya untuk mencapai kemenangan, keselamatan, dan kebahagiaan di dunia dan akhirat.

“Anda mesti sedar bahawa menyegerakan untuk melakukan perkara yang baik termasuk berminat untuk mematuhi nilai-nilai yang diajar oleh Islam; nilai-nilai murni yang membentuk akhlak seorang Muslim dan memperkemaskannya dengan cara yang terbaik.

“Antara nilai yang diajar oleh Islam ialah menjauhi segala yang membawa kepada perbezaan pendapat, permusuhan, atau perpecahan; dan sebaliknya, memastikan interaksi kita dikuasai oleh keharmonian dan belas kasihan,” ucapnya kepada jemaah haji.

Seramai 799,919 jemaah haji dari negara luar Arab Saudi dan 119,434 jemaah Saudi berkumpul untuk berwukuf di Arafah (FOTO SAUDI GAZETTE)

Selepas khutbah, Syeikh Al-Issa mengimamkan solat. Jemaah haji menyertai solat di Masjid Namirah dan sekitar Masjid Namirah, dan kemudian mula melakukan wukuf.

Wukuf di Arafah merupakan salah satu daripada empat rukun haji, bermula selepas solat Zuhur. Jemaah haji melakukan solat dan doa sehingga selepas matahari terbenam.

Mereka memohon keampunan dan keredhaan Allah. Ramai daripada jemaah dilihat menggunakan payung bagi menghalang pancaran terik matahari sambil melaungkan Talbiyah dan membaca ayat-ayat suci al-Quran selepas mendaki bukit Jabal Ar-Rahma (Jabal Rahmah) di Arafah.

Sheikh Muhammad Al-Issa menyampaikan khutbah Arafah di Masjid Namirah pada 8 Julai 2022. (FOTO SAUDI GAZETTE)

Umat ​​Islam di kebanyakan tempat di dunia menjalani ibadah puasa pada hari Jumaat sebagai tanda solidariti dengan jemaah haji. Disunnahkan bagi mereka yang tidak menunaikan haji untuk berpuasa pada Hari Arafah.

Beberapa minit selepas matahari terbenam pada Jumaat itu juga, lapor Arab News pula, para jemaah mula bergerak ke dataran Muzdalifah yang terbuka tetapi berbatu, di mana mereka telah mengadakan solat Maghrib dan Isyak, serta mengumpulkan batu kerikil untuk upacara rejam syaitan di Jamrat Al-Aqabah pada hari ini, Sabtu (9 Julai), iaitu hari pertama Hari Raya Aidiladha dan hari ke-10 Dzulhijjah di Arab Saudi.

Tiga hari berikutnya – Ahad, Isnin dan Selasa – adalah hari Tasyriq, yang  mana jemaah haji akan melempar tujuh batu ke atas setiap Jamarat kecil, sederhana dan besar.

Ambulans mengiringi kafilah bas dalam perjalanan ke Muzdalifah, manakala rondaan keselamatan menguatkuasakan jarak antara kenderaan untuk memastikan aliran trafik lancar.

jemaah haji menggunakan payung melindungi diri masing-masing daripada pancaran terik matahari sambil melaungkan Talbiyah dan membaca ayat-ayat suci al-Quran selepas mendaki di Jabal Ar-Rahma, di Arafah, Mekah, Arab Saudi pada 7 Julai 2022. (FOTO Saudi Gazette)

Beberapa jemaah haji berjalan kaki melalui laluan pejalan kaki sepanjang 25km yang menghubungkan Arafat dengan Mina melalui Muzdalifah, dan merupakan yang terpanjang seumpamanya di dunia.

Seramai 899,353 jemaah haji merangkumi 779,919 dari negara luar Arab Saudi dan 119,434 jemaah warga Saudi menunaikan ibadah haji terbesar pada tahun ini sejak pandemik Covid-19 melanda dunia, kira-kira dua tahun lalu.

Tahun ini adalah buat pertama kalinya jemaah haji dari luar Saudi dibenarkan menunaikan haji sejak penularan virus korona sebelum haji pada 2020.

Seorang jemaah haji sedang berdoa dengan penuh khusyuk di Arafah, Mekah, Arab Saudi pada 7 Julai 2022. (FOTO Saudi Gazette)

Pihak berkuasa Saudi sebelum ini membenarkan bilangan jemaah domestik yang terhad untuk menunaikan haji tahunan selama dua musim haji terakhir (2020 dan 2021) yang diadakan dalam tempoh yang belum pernah berlaku sebelum ini, susulan sekatan perjalanan dan penjarakan sosial khususnya ketika mengelilingi Kaabah.

Hanya jemaah di bawah umur 65 tahun yang telah mengambil sekurang-kurangnya dua dos vaksin Covid-19 dan mempunyai ujian Polymerase Chain Reaction (PCR) negatif dibenarkan menunaikan haji tahun ini.

Sebelum tempoh pandemik pada 2019, kira-kira 2.5 juta jemaah haji warga Saudi dan luar negara dari seluruh dunia telah berkumpul melakukan ibadah haji. – HARAKAHDAILY 9/7/2022

- Advertisement -