Ahmad Lutfi pernah julang Harakah di era reformasi

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Bekas Ketua Pengarang Kumpulan Harakah, Ahmad Lutfi Otman, 59, meninggal dunia di Hospital UiTM Puncak Alam jam 2.20 pagi tadi.

Menurut abangnya Dato’ Shamsuddin, adiknya kritikal sejak beberapa lalu sejak dimasuk ke wad hospital terbabit kerana komplikasi beberapa penyakit.

Ketika masih lagi menerajui Harakah arwah mengalami beberapa penyakit termasuk buah pinggang, diabetes dan masalah jantung.

Malah arwah juga pernah mengalami minor strok menyebabkan beliau terpaksa berjalan dengan bantuan tongkat.

- Advertisement -

Ahmad Lutfi seorang penulis oposisi yang gigih pernah mempunyai syarikat penerbitan sendiri iaitu Penerbitan Pemuda yang berpejabat di Medan Idaman Gombak menerbitkan beberapa majalah termasuk majalah Detik, Retak dan Tamadun.

Sepanjang kerjayanya sebagai wartawan beliau pernah dua kali menerajui Harakah, di mana kemuncaknya pada era reformasi. Harakah ketika di bawah kendaliannya ketika itu mencatat sejarah apabila pernah dicetak lebih 300,000 naskhah bagi satu edisi.

Kejayaan itu mengatasi akhbar arus perdana ketika gelombang reformasi meledak di seluruh berikutan Dato’ Seri Anwar Ibrahim disingkir daripada jawatan timbalan perdana menteri atas dakwaan isu liwat.

Keupayaan Harakah ketika itu sebagai sebuah akhbar mingguan terbitan Lajnah Penerangan PAS Pusat, turut menarik minat ramai sarjana tempatan dan luar negara membuat kajian.

Arwah juga antara penulis buku-buku politik yang dikenali ramai di negara ini. Arwah sebaris dengan Yahaya Ahmad, Syed Husin dan Rustam Sani. Antara hasil tulisannya Lorong Belakang. Wajah Baru Politik Malaysia dan Operasi Nyah 2.

Bagaimanapun Ahmad Lutfi berundur daripada mengetuai sidang redaksi Harakah disebabkan masalah kesihatan.

Sepanjang bergelut dengan masalah kesihatan, arwah terpaksa berulang alik ke hospital bagi menjalani dialisis buah pinggangnya.

Sidang redaksi Harakah dan Harakahdaily merakam ucapan takziah kepada keluarga Allahyarham dan mendoakan semoga rohnya ditempatkan bersama para syuhada dan solihin.

Menurut Shamsuddin, solat jenazah arwah akan diadakan di Masjid Bandar Baru Ampang jam 10 pagi ini. – HARAKAHDAILY 9/7/2022

- Advertisement -