EPL yang membosankan?

- Advertisement -

MUSIM 2021/22 melihat Manchester City mengekalkan kejuaraan Liga Perdana Inggeris atau English Premier League (EPL). Walaupun Liverpool mengejar dari belakang dan memberi tekanan ke atas juara bertahan tersebut namun kemampuan City mengekalkan kejuaraan telah dijangka oleh ramai. Akhirnya City mengatasi Liverpool dengan satu mata.

Satu fakta yang menarik mengenai EPL musim lepas adalah 7 kelab yang layak ke pertandingan-pertandingan Eropah musim hadapan adalah hampir sama dengan kelab-kelab yang layak pada musim sebelumnya (2019/20). Hanya Arsenal adalah pendatang baharu apabila Leicester tersingkir.

Jika dikaji saingan untuk 10 musim yang lepas, kelab-kelab yang sama telah menguasai saingan liga tersebut. Mereka menguasai kedudukan yang teratas liga setiap musim.

Contohnya bagi 4 tempat teratas untuk layak ke Liga Juara-juara UEFA atau UEFA Champions League (UCL), hampir kelab-kelab yang sama telah layak setiap musim. Jarang sekali kelab-kelab yang berbeza dapat memecahkan monopoli kelab-kelab utama itu.

Contohnya Manchester City telah layak sebanyak 10 kali dan telah juga menjadi juara liga sebanyak 6 kali. Liverpool pula telah layak sebanyak 7 kali dan telah layak setiap musim sejak musim 2016/17. Kelab London, Chelsea, telah layak sebanyak 8 kali berdasarkan kedudukan liga tetapi telah juga layak sekali lagi kerana merupakan juara bertahan. Sementara satu lagi kelab utama, Manchester United, telah layak sebanyak 7 kali. Keempat-empat kelab ini menguasai saingan liga dan kelayakan ke UCL.

Kelab-kelab lain yang berjaya layak atau menduduki salah satu 4 tempat teratas adalah Tottenham (5 kali), Arsenal (5 kali) dan Leicester (1 kali apabila berjaya menjadi juara). Ini bermakna hanya 7 kelab yang pernah menduduki 4 tempat teratas EPL sepanjang 10 musim yang lepas.

Kisahnya juga serupa bagi kelayakan ke pertandingan-pertandingan UEFA yang lain berdasarkan kedudukan liga. Kelab-kelab perlu menduduki sekurang-kurangnya tempat keenam atau ketujuh untuk layak. Kelab-kelab yang sama juga menguasai saingan. Selain dari UCL terdapat juga UEFA Europa League dan sejak musim 2020/21 telah diperkenalkan UEFA Conference League.

Ada di antara 7 kelab yang pernah layak ke UCL juga pernah layak ke Europa League dan Conference League. Kelab-kelab lain yang pernah layak adalah West Ham (3 kali), Everton (2 kali), Southampton (2 kali), Wolves (1 kali), Newcastle (1 kali) dan Burnley (1 kali). Ini bermakna sepanjang 10 musim yang lepas, hanya 13 kelab yang pernah menduduki 7 tempat teratas EPL. Ini tidak menunjukkan satu saingan yang terbuka.

Sekiranya anda mencari kelab untuk disokong dan anda mahukan kelab yang berupaya memenangi kejuaraan liga, secara realistik terdapat 4 atau 5 kelab yang berupaya melakukannya. Berdasarkan statistik dan prestasi, hanya Manchester City, Liverpool, Chelsea dan Tottenham dilihat sebagai pencabar utama untuk kejuaraan liga musim hadapan. Manchester United yang dihantui oleh masalah dalaman dan Arsenal yang kononnya terkena ‘sumpahan Ozil’ bukanlah pencabar yang serius. 4 kelab utama ini yang patut menjadi pilihan anda.

Di England, mereka mendakwa EPL sebagai liga terbaik di dunia (The best league in the world). Ini tidak menghairankan kerana orang Inggeris sentiasa mendakwa mereka adalah yang terbaik walaupun mereka telah kehilangan empayar mereka berpuluh tahun yang lalu. Britain tidak lagi menjadi kuasa dunia sejak Krisis Suez dalam tahun 1956. Walau bagaimanapun tidak dapat dinafikan EPL berjaya menarik pemain-pemain ternama dunia. EPL adalah di antara liga bola sepak yang paling popular di dunia.

Menurut satu laporan media dalam tahun 2021, seramai 643 juta orang di seluruh dunia menonton setiap perlawanan EPL. Sementara hanya 76 juta orang untuk La Liga (Sepanyol) dan 10.5 juta orang untuk Ligue 1 (Perancis). EPL berada jauh di hadapan.

Dari segi nilai, EPL dianggarkan bernilai 9.03 bilion USD. Sementara La Liga bernilai 5.96 bilion USD. Serie A (Itali) pula bernilai 4.88 bilion USD. Itu sebabnya EPL dapat menarik pemain-pemain ternama dunia.

Sementara dari segi kualiti pemain, 108 orang pemain dari EPL telah bermain pada Piala Dunia 2018 di Russia. Berbanding dengan 78 orang pemain dari liga Sepanyol dan 62 orang pemain dari liga Jerman.

Mungkin benar dakwaan bahawa EPL adalah liga yang terbaik di dunia tetapi bagi mereka yang suka melihat kejutan maka EPL bukan liga untuk anda. Kali terakhir kejutan berlaku adalah pada musim 2015/16 apabila Leicester muncul johan. Hari ini adalah hampir mustahil untuk melihat kelab-kelab seperti Brighton, Southampton atau Wolves memecahkan monopoli Manchester City, Liverpool dan Chelsea. Malah Manchester United dan Arsenal juga dilihat tidak berupaya. Seolah-olah keputusan EPL boleh diramal (predictable). Justeru bagi mereka yang bukan sekadar mahukan kualiti bola sepak yang tinggi tetapi mahukan drama dan kejutan, EPL adalah membosankan.

DATO’ ISKANDAR ABDUL SAMAD – HARAKAHDAILY 9/7/2022

- Advertisement -
- Advertisement -