Sepuluh panji simbolik sepuluh parlimen di PP

- Advertisement -

Oleh NUR HASMIRA MOHAMAD
Foto MUHAMMAD FARHAN ZAKARIA (APC PENANG)


BUKIT MERTAJAM: Dewan Muslimat PAS Negeri Pulau Pinang (DMPNPP) melancarkan jentera pilihan rayanya sebagai persediaan menghadapi pilihan raya umum ke-15 dengan sepuluh panji PAS dalam program Ijtimak Jentera Pilihan Raya DMNPP.

- Advertisement -

Menurut Pengarah Pilihan Raya DMPNPP, Farhiyah Shafie, sepuluh panji yang dibawa oleh sepuluh Muslimat dianggap simbolik kekuatan jentera Muslimat untuk sepuluh daripada 13 parlimen di Pulau Pinang.

“Di Pulau Pinang, jentera Muslimat hanya ada di sepuluh parlimen iaitu Batu Kawan, Kepala Batas, Tasek Gelugor, Bukit Mertajam, Nibong Tebal, Jelutong, Balik Pulau, Bagan, Permatang Pauh dan Bayan Baru,” kata Farhiyah yang ditemui selepas pelancaran program berkenaan.

(Dari kanan) Pengarah Pilihan Raya DMPNPP, Farhiyah Shafie, Ketua DMPNPP, Maziah Khamis, Pengarah Pilihan Raya DMPM, Noraini Hussin, dan Ketua DMP Permatang Pauh, Norhapiza Saad.

Mengulas lanjut, pihaknya mensasarkan sejumlah 900 ahli jentera pilihan raya di Pulau Pinang dan jumlah setakat ini seramai 600 lebih ahli.

“Kita masih mencari lagi ahli untuk jentera pilihan raya kerana di setiap Unit Peti Undi (UPU) kita perlukan tenaga enam orang untuk hari pilihan raya nanti.

“Mereka ini diperlukan untuk mencula pengundi dan untuk kendalikan aktiviti apabila bahang pilihan raya hampir tiba nanti,” ujar Farhiyah.

Program yang berlangsung di Dewan Marzuki, Yayasan An-Nahdhoh Pulau Pinang pada Khamis disertai lebih 300 Muslimat termasuk Pengarah Pilihan Raya Dewan Muslimat PAS Malaysia (DMPM), Noraini Hussin dan Ketua DMPNPP, Maziah Khamis.

Katanya lagi, aktiviti munajat daripada Skuad Munajat antara yang rancak menjalankan aktiviti di sepanjang tahun.

Manakala program di lapangan untuk Unit Ziarah, Unit Pengundi Muda dan Unit Culaan baharu sahaja dimulakan apabila kerajaan mengumumkan peralihan fasa pandemik kepada fasa endemik Covid-19 pada 1 April lalu.

“Kita mengharapkan dengan pelancaran pada hari ini, jentera akan lebih bersemangat untuk melakukan gerak kerja di lapangan.

“Mereka lebih berstrategi dan lebih bersemangat,” ujarnya.

Pengarah Pilihan Raya Dewan Muslimat PAS Malaysia (DMPM), Noraini Hussin mengingatkan jentera Muslimat supaya sentiasa memantapkan fikrah perjuangan, amalan iaitu menjaga hubungan dengan Allah SWT dan menguasai kemahiran teknikal pilihan raya.

Ketiga-tiga perkara itu katanya penting bagi mengukuhkan iltizam jentera agar tidak mudah berputus asa.

Pada pelancaran itu, Noraini memakaikan ves halwa kepada Ketua DMP Permatang Pauh, Norhapiza Saad yang turut mengemudi bacaan ikrar untuk hadirin. – HARAKAHDAILY 9/72022

- Advertisement -