Tak perlu layan provokasi Nur Jazlan – UMMAH

Mohd Zai Mustafa
- Advertisement -

Oleh ZULHAIDI MANSOR

KUALA LUMPUR: Menteri-menteri kabinet digesa tidak melayan provokasi Timbalan Pengerusi Umno Johor, Datuk Nur Jazlan Mohamed yang menempelak prestasi menteri-menteri kabinet terutamanya daripada parti PAS.

Pengerusi Gerakan Pembela Ummah (UMMAH), Mohd Zai Mustafa berkata, Perdana Menteri Dato’ Seri Ismail Sabri Yaakob dan menteri-menteri kabinet terutamanya daripada PAS tidak perlu melayan kenyataan tersebut.

- Advertisement -

Menurut beliau, Nur Jazlan bukan terlibat secara langsung dengan kerajaan sama ada sebagai menteri atau timbalan menteri, kerana anggota kabinet melapor terus kepada Perdana Menteri melalui mesyuarat kabinet.

Justeru katanya, pihak-pihak lain yang luar daripada kabinet tidak mengetahui sepenuhnya tugasan yang dilaksanakan dengan baik sebagaimana diarah Perdana Menteri.

Tambahnya, Petunjuk Prestasi Utama (KPI) menteri ada pada Perdana Menteri, jadi tidak perlu Nur Jazlan komen di luar pengetahuannya.

“Lebih baik Nur Jazlan menumpukan kepada Umno khususnya di kawasannya kerana pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) dia mengalami kekalahan hampir 30,000 undi di Parlimen Pulai.

“Maka, lebih baik sekiranya beliau fokus kepada gerak kerja dan tidak perlu membuat kenyataan yang menimbulkan isu-isu yang negatif,” katanya ketika dihubungi HarakahDaily hari ini. 

Mengulas lanjut Mohd Zai berkata, kenyataan Nur Jazlan itu lebih bersifat provokasi dan mungkin ia berjaya mencuri perhatian Perdana Menteri dan  berkemungkinan beliau berharap dilantik dalam jawatan tertentu dalam kerajaan.

Katanya lagi, ia merupakan promosi dengan memberikan komen bersifat provokatif demi mencuri tumpuan media.

Terdahulu, Nur Jazlan yang juga bekas Ahli Parlimen Pulai dilapor memberitahu prestasi menteri dari PAS sebagai cap ayam menyebabkan Perdana Menteri perlu menanggung pelbagai masalah negara. – HARAKAHDAILY 4/7/202

- Advertisement -