Wanita Malaysia dibebani kenaikan harga minyak masak

Kenaikan harga minyak masak botol menyebabkan stok minyak masak paket sukar didapari untuk dibeli orang ramai.
- Advertisement -

Oleh NORHANA MAT ZIN

KUALA LUMPUR: Kenaikan harga minyak masak di pasaran negara ini  ternyata membebankan rakyat khususnya dalam kalangan wanita yang sinonim dengan aktiviti memasak, dan biasa menggunakan bahan tersebut setiap kali mereka menyediakan juadah untuk keluarga di rumah.

Ia adalah susulan pemansuhan harga siling minyak masak tulen botol bermula pada 1 Julai  2022 menyebabkan harga terkini naik melebihi 40 peratus berbanding harga minyak masak botol siling sebelum ini, melibatkan kesemua jenis minyak masak botol dengan kandungan 1, 2, 3 dan 5 kilogram (kg).

- Advertisement -

Tinjauan yang dibuat HarakahDaily mendapati, pengguna dan pembeli minyak masak dari golongan wanita amat terkesan dengan kenaikan harga minyak masak yang ada di pasar raya ketika ini.  

Ketua Dewan Muslimat PAS Kedah, yang juga Pengerusi Lajnah Pembangunan Keluarga Dewan Muslimat PAS Malaysia (LPK DMPM), Dato’ Siti Ashah Ghazali, 56, berkata, kenaikan harga barang khususnya minyak masak ketika ini memang membebankan rakyat terutama golongan yang berpendapatan rendah. 

Menurut beliau, secara amnya kenaikan harga barang kini bukan hanya berlaku di dalam negara sahaja tetapi juga di peringkat global.

Dato’ Siti Aishah

Tambahnya, pada masa ini, kerajaan Malaysia masih lagi memberikan subsidi kepada produk minyak masak berpaket. 

“Namun berbeza pula dalam isu penarikan subsidi terhadap minyak masak botol bermula 1 Julai lalu sehingga kenaikannya dikatakan melebihi 40 peratus setiap botol yang mengandungi isian 1, 2, 3 dan 5 kilogram (kg) per botol.

“Apabila berlaku secara global terhadap peningkatan harga barangan ini, sudah semestinya ada golongan yang terkesan dengan perkara ini. Oleh itu, pihak kerajaan perlu mengadakan pemantauan yang rapi terhadap isu kenaikan minyak masak botol ketika ini,” katanya kepada HarakahDaily.

Sementara menurut  Penyelaras Taska Tunas Insan Firdaus (TASTI), Maimunah Safwah Musa, 46, pula, kenaikan harga minyak masak tulen botol sangat memberi kesan kepadanya dan pengguna lain.

Maimunah Safwah

Menurutnya, bebanan itu sangat dirasai walaupun mempunyai pendapatan tetap, namun sudah tentu ia lebih membebankan bagi golongan yang tidak mempunyai pendapatan bulanan yang tidak tetap. 

“Bagi golongan peniaga pula sangat terkesan dan secara automatik, mereka akan menaikkan lagi harga jualan bagi menampung kos bahan mentah yang sebahagiannya turut naik harga,” ujarnya. 

Senada dengan Siti Aishah dan Maimunah Safwah ialah guru pendidikan moral, Nor Khamsiah Mat Zin, 31, yang berkata akibat kenaikan harga minyak masak botol ketika ini orang ramai sukar mendapatkan minyak masak paket di pasaran kerana  kehabisan stok.

Nor Khamsiah

“Boleh dikatakan setiap rumah menggunakan minyak masak untuk kegunaan seharian. Apabila berlaku kenaikan harga minyak masak botol ketika ini, agak menyukarkan bagi saya untuk mendapatkan stok minyak masak berpaket di pasaran. Oleh itu, saya terpaksa membeli minyak masak botol untuk digunakan di rumah,” luahnya.

Tambahnya, walaupun harga minyak masak botol meningkat naik, barangan itu tetap terpaksa juga dibeli pengguna disebabkan ia sudah menjadi keperluan di dapur walaupun ada pihak yang mencadangkan menukar kaedah masakan yang dapat mengurangkan kadar penggunaan minyak masak. 

Dalam pada itu, suri rumah, Umi Kelsom Hamzah, 46, menegaskan bahawa amat tidak wajar sekali rakyat khususnya golongan wanita dibebani dengan isu kenaikan harga minyak botol  memandangkan rakyat sekarang ini berada dalam keadaan sukar dari segi ekonomi.

Umi Kelsom

“Ada rakyat kehilangan pekerjaan disebabkan pandemik Covid-19. Secara tidak langsung, apabila tidak bekerja maka agak sukar untuk mendapat wang. 

“Bagi yang bekerja pula, kenaikan harga barang juga tidak seimbang dengan pendapatan yang diperolehi,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 4/7/2022

- Advertisement -