Iktibar daripada metamorfosis

- Advertisement -

METAMORFOSIS ialah satu proses biologi yang melibatkan perubahan ke atas organisma bermula daripada proses penetasan atau kelahiran serta melibatkan perubahan struktur fizikal yang ketara. Perubahan struktur fizikal ini berlaku akibat pertumbuhan dan pembezaan sel organisma tersebut. Antara organisma yang melalui proses metamorfosis ialah serangga, amfibia, krustasea dan moluska. Perubahan yang disebabkan oleh proses metamorfosis bukan sahaja mengubah bentuk fizikal organisma tersebut, malahan tingkah laku dan pemakanan juga turut sama berubah. 

Satu daripada organisma yang melalui proses metamorfosis ialah kupu-kupu. Hidup kupu-kupu bermula daripada telur, kemudian menjadi larva, diikuti peringkat kepompong, dan akhir sekali menjadi kupu-kupu dewasa. Apabila larva bermetamorfosis ke peringkat kepompong, ia akan berada dalam keadaan tidak aktif untuk satu tempoh. Hal ini berbeza berbanding semasa ia berada pada peringkat larva yang amat aktif dan kuat makan.

Selepas satu tempoh dalam bentuk kepompong, kita akan mula melihat satu lubang kecil pada kepompong tersebut. Daripada lubang kecil inilah kupu-kupu dewasa cuba mengeluarkan dirinya, dan proses ini merupakan satu usaha yang tidak mudah bagi organisma tersebut, malahan kelihatan penuh sengsara dan mengambil masa yang panjang. Namun selepas satu tempoh ia bersusah-payah, akhirnya muncul kupu-kupu daripada dalam kepompong itu.

Ada iktibar daripada proses yang kelihatan sukar itu. Andai kata kita yang memerhatikan proses ini mengambil keputusan untuk ‘membantu’ kupu-kupu itu dengan mengambil gunting lalu memotong kepompong itu dengan niat untuk memudahkan proses kupu-kupu itu keluar dari kepompong, adakah ia satu perkara yang terbaik? Memang pasti kupu-kupu itu akan dapat lepas bebas dengan lebih mudah, tetapi kita akan menemukan tubuhnya yang kelihatan bengkak dan bersaiz kecil, manakala kepaknya pula kecut dan tidak mampu mengembang. Apabila dibiarkan untuk satu tempoh, kita akan melihat bahawa tubuh kupu-kupu itu kekal begitu yakni bengkak dan bersaiz kecil tanpa kemampuan untuk terbang kerana kepaknya yang tidak normal. Akhirnya kupu-kupu itu akan mati.

Sebenarnya apabila kupu-kupu kelihatan sukar keluar daripada kepompong, ia merupakan satu proses yang Allah S.W.T telah jadikan untuk membolehkan bendalir daripada tubuhnya dipaksa bergerak ke arah kepak untuk menjadikan kepaknya lebih kuat dan tubuhnya lebih kurus. Struktur tubuh dan kepak seperti ini akan membolehkan kupu-kupu yang keluar daripada kepompong dapat terbang dan menjalankan kehidupan normal. Kesulitan yang dilalui oleh organisma ini menerusi proses metamorfosis sebelum menjadi dewasa menyediakan dirinya dengan keperluan kehidupan kupu-kupu dewasa. Demikianlah Allah S.W.T menjadikan makhluk-makhluknya. Setiap perkara yang dilalui pasti ada hikmah dan rahsia yang membantu makhluknya untuk menjalankan kehidupan di muka bumi.

Perkara yang sama juga Allah berikan kepada manusia. Segala cabaran dan ujian kehidupan yang Allah berikan kepada kita adalah untuk memperkuatkan diri kita untuk menjadi insan yang lebih kuat dalam menjalani kehidupan di dunia ini dan juga sebagai bekalan untuk akhirat nanti. Mengambil pengajaran daripada metamorfosis kupu-kupu, pengorbanan adalah diperlukan bagi manusia untuk mengecap kehidupan yang lebih baik. Keluar daripada kepompong juga boleh diibaratkan sebagai keluar daripada zon selesa untuk mencapai potensi diri yang sebenar. Jika kita terus berada di dalam zon selesa (kepompong), maka selama-lamanya kita akan tidak berkembang dari sudut mencapai kemampuan sebenar.

DR. SHAIKH MOHD SAIFUDDEEN SHAIKH MOHD SALLEH
Felow Utama/Pengarah, Pusat Kajian Sains dan Alam Sekitar, IKIM – HARAKAHDAILY 4/7/2022

Sumber Asal: https://www.facebook.com/100064392321114/posts/pfbid0jABt8nNY7LWSTq42QzsS11HoAdTcEgP7owzCjccY6aiFEez66sWh3xALXvcj1AAFl/

- Advertisement -
- Advertisement -