Lady Zainab, wanita kelahiran British pertama tunaikan haji

Wajah klasik Lady Evelyn ketika muda sebelum bergelar Lady Zainab selepas memeluk Islam pada tahun 1915. (FOTO jscherfi.medium.com).
- Advertisement -

Susunan ZULHAIDI MANSOR

SCOTLAND: Di estet Glen Carron, jauh di barat Scotland Highlands, terletak kubur Lady Zainab Cobbold atau nama asalnya, Lady Evelyn Murray yang dilahirkan di Edinburgh pada 17 Julai 1867.

Apakah keistimewaan wanita ini dan kenapa namanya kemudian dikenali sebagai Lady Zainab? Sebenarnya beliau telah melakar sejarah sebagai wanita aristokrat atau bangsawan kelahiran British pertama yang didokumentasi menunaikan haji selepas memeluk agama Islam.

- Advertisement -

Merujuk kepada twitter @Amaliah bertarikh 15 Julai 2021, ada menyebut bahawa pada tahun 1933, Lady Zainab menjadi wanita Islam British pertama yang menunaikan haji pada usia 65 tahun.

Beliau dikatakan telah pergi ke Madinah bersendirian untuk menziarahi makam Rasulullah S.A.W dan kemudian tiba di Makkah seorang diri untuk menunaikan haji, yang akhirnya memenuhi matlamat yang diimpikannya selama bertahun-tahun.

Menurut medium.com, penukaran agama Lady Zainab dari Katolik kepada Islam pada zaman itu dilihat sebagai sesuatu yang sangat aneh dan asing bagi ahli golongan bangsawan British, kerana ini bermakna Lady Zainab terpaksa meninggalkan tabiat minum alkohol – sesuatu yang boleh dikatakan mengasingkan kegiatan sosial dalam kalangan golongan berkenaan.

Sekumpulan kira-kira 20 orang mualaf Islam mengambil bahagian dalam misi berjalan kaki ke kubur Lady Evelyn di estet Glen Carron, jauh di barat Scotland Highlands pada 15 Jun 2022. (FOTO BBC)

Lady Zainab sebenarnya terpaksa mendapatkan kebenaran khas untuk menunaikan haji, dengan mengumumkan hasratnya kepada Menteri Arab Saudi di London ketika itu, Hafiz Wahba, yang menulis surat kepada Raja ‘Abd al-‘Aziz di Riyadh untuk meminta kebenaran rasmi.

Sebenarnya, kesedaran orang ramai tentang sumbangan Lady Zainab terhadap pemahaman Islam di Barat hampir hilang. Namun, minat mereka terhadap kisahnya telah dihidupkan semula beberapa tahun lalu apabila bukunya yang berjudul, Pilgrimage to Mecca (Ziarah ke Makkah) diterbitkan semula. 

Lady Zainab (kanan) bergambar dengan Putera Sa’ud ibn ‘Abd al-‘Aziz (tengah) dan Hafez Wahba (dua dari kanan) menerusi foto klasik ini. (FOTO Medium.com)

Menurut The New Arab, buku berkenaan yang pertama kali diterbitkan pada 1934, mendokumentasikan perjalanan fizikal dan rohani Lady Zainab ke Makkah yang merupakan pusat jantung buat umat Islam di seluruh dunia.

Sementelah dengan lawatan untuk menziarahi kubur arwah Lady Zainab pada tahun ini dianjurkan oleh Yayasan Mualaf Muslim (Convert Muslim Foundation), sebuah badan amal (NGO) berpangkalan di United Kingdom (UK) yang memberikan sokongan kepada induvidu yang baru memeluk Islam.

NGO berkenaan telah ditubuhkan oleh Batool Al Toma, warga Ireland yang telah memeluk Islam.

Batool Al Toma menghidupkan semula ingatan terhadap Lady Zainab dengan menganjurkan lawatan ke kubur arwah di estet Glen Carron, di barat Scotland Highlands pada tahun ini. (FOTO YouTube)

Beliau yang juga Pengarah NGO berkenaan turut memainkan peranannya sebagai Pengarah Projek Muslim Baharu di pertubuhan Islamic Foundation di Markfield, Leicester, yang mana beliau menubuhkan perkhidmatan berasaskan UK yang berkaitan dengan sokongan, pendidikan, kaunseling dan pembangunan berterusan mualaf di Britain.

Al Toma juga ialah Editor Meeting Point (Titik Pertemuan), majalah yang telah diiktiraf secara nasional sebagai unik kepada komuniti mualaf.

Menurutnya, sejak mendengar tentang Lady Zainab beliau tertarik dengan kisah wanita hebat yang tidak pernah membiarkan dirinya diketepikan hanya kerana dia seorang wanita itu.

Lady Zainab berjaya menggapai impiannya untuk menunaikan haji di Makkah pada usia 65 tahun. (FOTO Goodreads)

Sumber Al-Araby Al Jadeed melaporkan bahawa Lady Zainab telah menyelami budaya Islam sejak kecil lagi ketika bapa dan keluarganya berpindah ke Afrika Utara dan di sanalah Lady Zainab berkenalan dengan Islam; melalui golongan hamba keluarganya semasa beliau membesar, sama ada daripada orang Mesir atau Algeria.

Laman web Inverness Masjid pula menyatakan kepercayaan Lady Zainab terhadap Islam dalam sebagai anak kelahiran Scotland dari keluarga bangsawan British bagaimanapun agak luar biasa, memandang ia adalah dalam era ketika Islam memiliki reputasi yang agak dilihat sebagai asing dalam masyarakat British.

Menurut laman web itu, Angus Sladen, cicit Lady Zainab, percaya kurangnya minat dalam sumbangannya kepada pemahaman Barat tentang Islam mempunyai beberapa sebab. 

Ini adalah bahawa dalam masyarakat British menganggap beliau tidak begitu berkepentingan berbanding golongan bangsawan lainnya.

Andaian itu adalah berdasarkan pandangan reduksionisme ahli akademik British yang mengkategorikan beliau dengan cara ini atas alasan Lady Zainab tidak berpendidikan tinggi pada pandangan mereka; dan mereka meremehkan pemahamannya tentang budaya Islam sebagai terhad kepada apa yang dia pelajari daripada pengasuhnya.

Buku Pilgrimage to Mecca yang pertama kali diterbitkan menjelang 1934 telah mendokumentasikan perjalanan fizikal dan rohani Lady Zainab ke Makkah pada 1933. (FOTO Heritagetime.in)

Biarpun begitu, nama Lady Zainab tetap mekar dan dipandang tinggi dalam sejarah Islam di Scotland. Ketika meninggal dunia pada 1963, tiada orang Islam di Scotland ketika itu untuk menyempurnakan janazah beliau, lalu Imam Masjid Woking telah dihubungi yang terpaksa memandu dalam ribut salji untuk menyempurnakan jenazah beliau.

Semua adalah kerana bagi menyermpurnakan wasiatnya yang ingin dikebumikan di atas bukit di ladangnya menghadap Makkah dengan kata-kata berikut pada batu nisan beliay yang berbunyi: “Allahu nur-us-samawati wal ard” (“Allah adalah cahaya langit dan bumi”). HARAKAHDAILY 4/7/2022

- Advertisement -