Pencemaran Sungai Chandong: Pemilik premis ditahan

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Susulan aduan pencemaran Sungai Chandong, Pulau Indah bertukar warna merah yang tular pada 29 Jun lalu, Jabatan Alam Sekitar (JAS) telah mengambil tindakan drastik dan menggempur 12 premis sekitar Klang dan Shah Alam pada 30 Jun lalu.

Menteri Alam Sekitar dan Air, Dato’ Sri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, pada 1 Julai lalu, berdasarkan maklumat awam, JAS telah menyiasat sebuah premis tidak bernama di Jalan Perigi Nanas 8.

“Siasatan mendapati terdapat aktiviti mencuci tong-tong besi terpakai menggunakan thinner dan mengecat semula tong tersebut,” ujarnya menerusi laman Facebook beliau, hari ini.

- Advertisement -

Tambahnya, tong-tong besi terpakai dikategorikan sebagai SW 409 di bawah Jadual Pertama, Peraturan-Peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Buangan Terjadual) 2005.

Beliau berkata, aktiviti tersebut dijalankan tanpa sebarang kelulusan JAS. 

Menurutnya lagi, siasatan turut mendapati terdapat satu (1) tong berisi buangan enapcemar cat yang dikategorikan sebagai SW 417 dan tiga (3) tangki Intermediate Bulk Containers, IBC berisi minyak hidraulik terpakai yang dikategorikan sebagai SW 305.

Jelas beliau, JAS mengenakan Penahanan Operasi Kelengkapan (POK) ke atas peralatan proses dan spray booth milik premis yang disyaki dan premis diarah menghentikan operasi serta merta.

Katanya, kertas iasatan telah dibuka dan persampelan buangan terjadual dan air buangan telah diambil dan dihantar ke JKM untuk analisis komposisi kimia.

“Pemilik premis ditahan untuk siasatan dan tindakan mahkamah. Terima kasih pengadu, rakan-rakan netizen dan JAS Selangor,” ujarnya yang juga Ahli Parlimen Kubang Kerian. – HARAKAHDAILY 4/7/2022

- Advertisement -