Kerajaan perlu gerak semula kempen Buku Hijau

Foto hiasan.
- Advertisement -

Oleh BAKRI JAMALUDDIN

PANDEMIK
Covid-19 yang mula dikesan pada awal tahun 2020 bukan sahaja memberi kesan kepada kegiatan perekonomian negara bahkan kesan bersifat global.

Bukan sekadar sahaja perang Ukraine–Rusia memberikan impak yang besar terhadap berlakunya krisis kenaikan harga makanan dunia.

Indeks Komoditi Makanan Bank Dunia mencatatkan kenaikan yang luar biasa pada bulan Mac-April tahun 2022 iaitu sebanyak 15 peratus berbanding dua bulan sebelumnya.

Ia melonjak sebanyak 80 peratus lebih tinggi jika dibandingkan dengan indeks dua tahun sebelumnya.

Harga bahan makanan dijangka akan terus meningkat sebanyak 20 peratus dan akan mereda pada tahun 2023.

- Advertisement -

Perang Ukraine-Rusia bukan sahaja menyebabkan kenaikan harga komoditi dunia tetapi juga memberikan kesan buruk terhadap rantaian perbekalan seperti meningkatnya harga pengeluaran dan ketidaktentuan dalam menentukan dasar dan polisi sesebuah negara.

Harga bahan sumber tenaga (energy source) seperti petroleum dan arang batu meningkat dengan begitu ketara, di mana ianya memberi kesan langsung kepada kenaikan kos pengangkutan dan pengeluaran.

Harga baja dan racun kimia juga meningkat dengan begitu tinggi menyebabkan harga sayuran dan lain-lain bahan pertanian juga turut meningkat.

Menurut laporan World Bank Blog, dijangka pengeluaran gandum dunia akan menurun sebanyak 1.5 peratus untuk tahun 2022-2023 dan ia merupakan penurunan untuk tahun kedua berturut-turut disebabkan menurunnya pengeluaran di Argentina, Australia dan Ukraine.

Pengeluaran jagung dunia turut menghadapi masalah serupa akibat berkurangnya pengeluaran dari Amerika Syarikat dan Ukraine. Walaupun begitu pengeluaran beras dan kacang soya dunia dijangka meningkat sebanyak 0.6 peratus dan 3.5 peratus berbanding tahun 2021-2022.

Permintaan terhadap gandum dan jagung terus meningkat dari setahun ke setahun disebabkan berlakunya pertambahan penduduk dunia.

Namun dengan menurunnya pengeluaran jagung seperti yang dijangka bermakna faktor permintaan berbanding pengeluaran akan menyebabkan berlakunya kenaikan harga di luar jangkaan secara global.

Kekurangan bahan asas jagung dalam pembuatan makanan haiwan ternakan dapat dirasai hari ini ekoran berlaku kenaikan harga ayam dan daging, bukan sahaja di Malaysia, tetapi di seluruh dunia.

Perlu diingat Rusia dan Ukraine sahaja secara global menguasai sekitar 25 peratus pasaran eksport gandum dan 11.4 peratus pasaran minyak makan di pasaran dunia.

Oleh itu apa-apa krisis sama ada peperangan atau cuaca buruk yang melanda sudah pasti akan menjejaskan pengeluaran gandum dan minyak makan serta tidak mampu memenuhi permintaan dari populasi dunia.

Dan inilah antara punca berlaku kenaikan harga barangan makanan dunia. Rusia juga merupakan negara pengeksport utama bahan mentah baja seperti amonia sebanyak 23 peratus, urea (14 peratus), phospat (10 peratus) dan potash (21 peratus).

Maka tidak hairanlah krisis Rusia-Ukraine memberikan kesan buruk terhadap industri pertanian dan perladangan dunia yang berkait langsung dengan pengeluaran makanan untuk keperluan populasi dunia.

Inflasi terhadap harga bahan makan bukan sahaja dirasakan di Malaysia tetapi juga turut berlaku di seluruh dunia akibat beberapa faktor seperti pandemik Covid-19; meningkatnya harga sumber bahan tenaga seperti petroleum dan arang batu, kenaikan harga baja dan kesan perang Rusia-Ukraine.

Susut nilai matawang di sesetengah negara dan meningkatnya kos pengeluaran juga merupakan faktor penting berlaku inflasi harga bahan makanan di beberapa negara di dunia.

Berdasar data di atas, ternyata antara negara-negara yang menghadapi inflasi harga makanan yang paling tinggi adalah Sub-Sahara Africa sekitar 11.1 peratus, Eropah dan Asia Tengah (9.6 peratus), Latin Amerika dan Caribbean (8.6 peratus), Timur Tengah (8.5 peratus), Asia Selatan (8 peratus) dan yang paling rendah Asia Timur dan Pasifik sekitar (3.5 peratus).

Bagi menghadapi inflasi harga bahan makanan yang disebabkan faktor global, adalah baik sekiranya kerajaan mengambil langkah yang pernah dilakukan Almarhun Tun Abdul Razak iaitu menggalakkan pengeluaran sendiri (self-sufficient) agromakanan seperti kempen Buku Hijau.

Dengan teknologi fertigasi, hidroponik dan lain-lain yang tidak memerlukan tanah yang luas perlu diberikan perhatian serius. Program ini boleh diperkenalkan di peringkat awal di sekolah-sekolah, melalui Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) dan lain-lain agensi kerajaan.

Sikap jimat cermat perlu dititikberatkan dalam kalangan rakyat Malaysia. Budaya kaki makan dan pembaziran makanan perlu dibendung.

Budaya makan rakyat Jepun dan German adalah contoh terbaik kerana mereka makan mengikut keperluan dan bukannya kerana kemampuan. Sikap menghargai makanan dan sumber makanan perlu dididik sejak dibangku sekolah agar dapat melahirkan generasi yang peka terhadap kemampanan sumber makanan.

Bakri Jamaluddin

Pengusaha restoran dan hotel juga perlu memainkan peranan membentuk budaya pemakanan yang baik dan sihat. Pembaziran yang berlaku dalam majlis melibatkan kaedah buffet dan seumpamanya mesti dihentikan.

Keuntungan yang diraih tanpa kepedulian terhadap kemampanan sumber makanan merupakan suatu sikap yang tidak bijak dan sangat kapitalis. – HARAKAHDAILY 4/7/2022

Penulis berpengalaman lebih 30 tahun dalam pengurusan industri komoditi.

- Advertisement -