Tragedi bangunan runtuh di Iran: 19 maut, 10 ditangkap

Bangunan Metropol 10 tingkat yang sedang dalam pembinaan di bandar Abadan, wilayah Khuzestan yang runtuh 23 Mei, 2022 dengan dengan berpuluh-puluh mangsa dikhuatiri terperangkap. (FOTO Getty Images)
- Advertisement -

ABADAN: Angka kematian akibat sebuah bangunan komersial di barat daya Iran runtuh meningkat kepada 19 orang menjadikannya bencana paling dahsyat di negara itu dalam beberapa tahun kebelakangan ini.

Sebahagian besar bangunan Metropol 10 tingkat yang sedang dalam pembinaan di bandar Abadan, wilayah Khuzestan itu runtuh pada Isnin (23 Mei) lalu dengan berpuluh-puluh mangsa dikhuatiri terperangkap.

- Advertisement -

“Jumlah sebenar orang yang terperangkap di bawah runtuhan tidak diketahui, tetapi setakat ini, 19 mayat telah ditemui,” agensi berita IRNA memetik gabenor bandar Ehsan Abbaspour sebagai berkata pada Khamis (26 Mei).

Beliau menambah bahawa 37 orang telah diselamatkan dari runtuhan bangunan itu dan dibawa ke hospital bandar untuk rawatan, dengan kebanyakan mereka telah dibenarkan keluar.

“Operasi mencari dan menyelamat akan diteruskan sehingga mayat terakhir ditemui,”  kata Abbaspour.

Menteri Dalam Negeri Iran,  Ahmad Vahidi, yang berada di Abadan, sebelum ini memberitahu media tempatan bahawa operasi pencarian mangsa bangunan runtuh itu bergerak perlahan dan berhati-hati kerana risiko bangunan bersebelahan runtuh.

Berpuluh-puluh penduduk telah berkumpul di jalan-jalan Abadan pada malam Rabu (25 Mei), meminta pihak yang bertanggungjawab dalam tragedi itu di bawa ke muka pengadilan.

Dalam pada itu, pemimpin tertinggi Iran, Ayatollah Ali Khamenei mengucapkan takziah kepada penduduk Abadan atas ‘insiden malang’ itu, dalam kenyataan melalui yang disiarkan di laman webnya pada Khamis.

Beliau menggesa pesalah didakwa dan dihukum, dan berkata menghalang kejadian seperti itu berulang adalah ‘tanggungjawab kita (pegawai-pegawai kerajaan) semua’.

Siasatan telah dibuka mengenai punca bencana di Abadan, sebuah bandar dengan populasi 230,000 orang, terletak 660 kilometer (410 batu) di barat daya Tehran.

Badan kehakiman wilayah berkata sekurang-kurangnya 10 orang telah ditahan polis, termasuk Datuk Bandar dan dua bekas Datuk Bandar, yang dituduh ‘bertanggungjawab’ atas  tragedi berkenaan.

Dalam bencana besar sebelum ini di Iran, 22 orang, termasuk 16 anggota bomba, maut dalam kebakaran yang melanda pusat beli-belah Plasco 15 tingkat di ibu negara pada Januari 2017. – The Arab News

- Advertisement -