Wajah radikal Italjet Dragster ubah persepsi skuter

- Advertisement -

Oleh ZIAUDDIN SHARUDDIN

Apabila pereka bentuk berpangkalan di United Kingdom, Kar Lee, menggabungkan ikon Ducati Panigale V2 dan skuter Italjet Dragster pada 2018, ramai yang menyangka dia gila. Namun, skuter protaip itu kini sudah menjadi realiti.

Reka bentuk skuter ini sangat radikal, malah mampu mengubah pandangan sesetengah penunggang terhadap skuter sama sekali.

- Advertisement -

Lee yang mendapat inspirasi reka bentuk asal Dragster era 1990-an, tetapi dengan rangka trellis seperti Ducati dan stereng hab tengah.

Namun tidak seperti Panigale V2 955cc berkuasa 155hp, Italjet 200 dengan kuasa enjin 181cc, penyejukan cecair, teknologi suntikan bahan api (EFI), empat injap, Euro 5 jenis 4-lejang silinder tunggal berkuasa 19.8hp dan tork 15.5 Nm dengan keseluruhan berat hanya 112 kilogram.

Varian Dragster 125cc pula menghasilkan 12.5 hp pada 9,500 rpm dan tork 10.5 Nm pada 7,750 rpm.

Prototaip Italjet yang dihidupkan semula menggunakan reka bentuk dan bahan moden, kali pertama diperkenalkan ketika Pameran Motosikal EICMA 2018 di Milan, diikuti tempoh tiga tahun penambahbaikan dan input baharu daripada pelumba MotoGP Itali yang kini Duta Italjet, Andrea Dovizioso.

Bagaimanapun, pandemik Covid-19 selama dua tahun menyebabkan kelewatan dan pengeluaran Italjet hanya bermula pada Oktober 2021.

Pelumba MotoGP Itali, Andrea Dovizioso, turut beri idea penghasilan Italjet Dragster.

Dragster yang unik menampilkan kerangka molibdenum-krom yang diperkukuh dengan plat aluminium ‘die-cast’, manakala rangka trellis, menyediakan struktur kuat dan ringan yang memudahkan dimuatkan enjin dan komponen lain yang menyambungkan kepala stereng ke pangsi lengan ayun dan memberikan ketegaran kerana struktur jalinannya.

Stereng hab tengah dalam acuan sama seperti Bimota Tesi 3D yang terkenal, memisahkan fungsi stereng, brek dan suspensi untuk kestabilan lebih baik. Monoshock Paioli di hadapan dan belakang dengan kebolehlarasan pramuat, manakala bagi mengekalkan identiti Itali, Italjet dipasang brek Brembo dan tayar Pirelli.

Pakej dilengkapkan dengan lengan ayun hadapan aluminium, pelindung tangan/tuil gaya MotoGP, tempat duduk penumpang dan tempat duduk skuter standard.

“Secara ringkasnya, Dragster ialah kepintaran Itali yang menakjubkan, tumpuan terhadap perincian dan paling penting, semangat untuk mencipta motosikal yang mengujakan.

Italjet diasaskan pada tahun 1959 oleh Leopoldo Tartarini, yang merupakan sebahagian daripada keluarga perlumbaan dan perniagaan Ducati sebelum memulakan pengembaraan dua rodanya sendiri. Dragster ialah model Italjet paling terkenal, dengan platform dua lejang 50cc dan 180cc.

Reka bentuk Italjet Dragster dianggap radikal.

Sementara itu, Italjet Dragster dijangka memasuki pasaran skuter Malaysia pada pertengahan tahun ini. Harga masih belum ditentukan kerana faktor kadar pertukaran mata wang dan kos penghantaran.

Namun berdasarkan harga di laman web Italjet, Dragster 125cc berharga 5,490 Euro menyebabkan skuter ini dijangka dijual dalam lingkungan RM30,000. Varian 200cc pula berharga 5,790 Euro. Belum ada maklumat sama ada Dragster 200 akan dibawa masuk, tetapi yang pasti kumpulan pertama ialah Dragster 125. – HARAKAHDAILY 25/5/22

- Advertisement -