PAS Selangor serius memperkasakan DHPP

TANGGAL 23 Mei lalu merupakan ulangtahun Dewan Himpunan Pendukung PAS atau DHPP yang ke 12. Sayap yang menghimpunkan aktivis dan penyokong NonMuslim PAS ini dirasmikan penubuhannya di Negeri Selangor oleh Presiden PAS, Tan Sri Tuan Guru Abdul Hadi Awang di Dewan Pejabat Tanah Daerah Klang pada 23 Mei, 2010.

Ternyata Selangor menjadi pangkalan menghimpunkan kekuatan pendukung PAS dari kalangan Non-Muslim yang bersungguh dan ikhlas mahu menyumbang ke arah kejayaan dan kemenangan PAS. Selangorlah antara negeri yang paling ke hadapan mengiktiraf dan menghargai peranan serta sumbangan anggota DHPP nya sehingga mencalonkan mereka menjadi calon Pilihan Raya Umum dalam PRU ke 14, melantik mereka sebagai ahli-ahli Majlis PBT semasa PAS di dalam kerajaan dan kini melantik mereka sebagai Ahli Lembaga Pelawat Hospital dan Klinik Kesihatan.

Advertisement

Setelah 12 tahun bertapak di Selangor, PAS Selangor kini telah menubuhkan Sekretariat Khas DHPP yang dipengerusikan oleh Timbalan Pesuruhjaya 1, Tuan Mohd Shafie Ngah untuk memperkasakan lagi peranan DHPP di Selangor agar dapat berperanan membawa kejayaan kepada PAS dalam PRU akan datang. Ianya dianggotai oleh kesemua Ketua dan Setiausaha DHPP Kawasan-kawasan selain Setiausaha PAS Kawasan-kawasan.

Sekretariat Khas ini dengan kerjasama pimpinan DHPP Kawasan-kawasan bertanggungjawab memastikan DHPP Kawasan-kawasan sentiasa berkerjasama dengan Yang Dipertua dan PAS Kawasan-kawasan bagi menjayakan program dan aktiviti PAS khasnya di kalangan Non-Muslim.

Usaha serius dibuat untuk memastikan DHPP Kawasan-kawasan sentiasa bergerak selaras dengan Aturan dan Peraturan DHPP, memastikan keahliannya melalui proses yang telus, kewangannya diuruskan dengan cekap dan menyokong aktiviti dan program mereka.

PAS Selangor beriltizam menjadikan DHPP Selangor wadah yang kukuh yang mampu berperanan menarik seramai mungkin penyokong PAS di kalangan NonMuslim menginsafi keadaan masyarakat berbilang kaum di sini.

Sehingga kini Sekretariat Khas ini dengan kerjasama PAS kawasan-kawasan telah berjaya mensahihkan kewujudan 10 DHPP Kawasan iaitu di Kuala Langat, Hulu Langat, Puchong, Bangi, Pandan, Sg Buloh, Kota Raja, Gombak, Sepang dan Kuala Selangor. Di kawasan-kawasan lain, usaha giat sedang dilakukan untuk membimbing agar DHPP kawasan dapat diwujudkan dengan Shah Alam dijangka menjadi kawasan ke 11 dalam waktu terdekat. Sasarannya agar Selangor dapat menghidupkan kesemua 22 DHPP kawasan menjelang PRU ke-15.

Dari 10 DHPP Kawasan yang diuruskan oleh Sekretariat Khas ini, seorang Ketua DHPP dari kalangan masyarakat Cina telah dilantik di Kota Raja iaitu Sdr. Low Lee Leong manakala seorang Wanita iaitu Puan Sarojini mengetuai DHPP Gombak.

Adalah menjadi hasrat Pesuruhjaya PAS Selangor serta seluruh Jawatankuasa Badan Perhubungan PAS Selangor agar dengan pemerkasaan DHPP di Selangor ini, masyarakat NonMuslim tidak akan teragak-agak untuk menyokong dan memberi undi kepada PAS dalam PRU 15 nanti. Selamat meraikan ulangtahun penubuhan ke 12 kepada semua pimpinan dan ahli DHPP Selangor dan seluruh Malaysia.

ROSLAN SHAHIR DATO’ MOHD SHAHIR
Setiausaha Sekretariat Khas DHPP Selangor
Setiausaha Badan Perhubungan PAS Negeri Selangor – HARAKAHDAILY 25/5/2022