Warga emas menumpang kasih hujung usia di KOMTAQ

- Advertisement -

Oleh MUHAMMAD ARIF ISMAIL | Foto HAIKAL IBRAHIM

TEMERLOH:
Biarpun usianya mencecah 82 tahun, namun Nik Khalid Nik Ibrahim masih mampu memandu Kancil beratus kilometer pulang ke Indera Mahkota, Kuantan.

Jarang ditemui warga emas sepertinya. Masih gagah memandu kenderaan seorang diri pulang ke rumah dari Kompleks Tahfiz Al Quran Qaradhawi (KOMTAQ) di Kuala Kerdau.

Namun, ia bukan perkara asing bagi Pak Nik. Beliau merantau lebih 50 tahun dari Kelantan untuk mencari rezeki. Mempunyai rumah di Taman Impianku, Indera Mahkota, Kuantan.

Sekarang menghabis sisa-sisa usia emas di KOMTAQ yang diurus bekas imam Masjid Shah Alam, Ustaz Kamal Ashaari. Beliau memilih tingggal di situ sejak enam tahun lalu.

“Pakcik datang ke sini sebab hendak cari ilmu agama dan kehidupan di sini pun tenang. Setiap hari boleh bersama pelajar mendalami ilmu agama dan solat fardu secara berjemaah,” katanya.

- Advertisement -

Nik Khalid juga memberitahu beliau sentiasa dihubungi anak-anaknya untuk bertanya khabar.

Menurutnya juga sekiranya ada urusan beliau pulang ke rumahnya di Indera Mahkota Kuantan dengan memandu kereta Kancil seorang diri selama dua jam.

Nik Khalid Nik Ibrahim

Pak Nik antara 30 warga emas yang menumpang kasih di hujung usia di KOMTAQ. Pusat pengajian agama itu terletak di tebing Sungai Pahang. Terletak hampir dua kilometer dari jalan utama.

Kedudukannya di hujung kampung. Di sebelahnya kebun kelapa sawit milik penduduk. Jalan tar yang dibina berakhir di hadapan KOMTAQ.

Malah kelihatan di bahagian tertentu tebing sungai terbabit runtuh. Ada gerai dan wakaf yang terletak di tebing sungai terbiar kerana sebahagian strukturnya runtuh.

Biarpun KOMTAQ terletak di hujung jalan, namun pusat pengajian itu sentiasa menjadi tumpuan ramai. Pelajar dan NGO sering menjadikan KOMTAQ sebagai lokasi aktiviti luar bilik darjah atau luar pejabat.

Ada padang bola dan gelanggang fulsal. Lokasi lapang juga boleh dimanfaatkan untuk mendirikan khemah. KOMTAQ juga menyediakan rumah tetamu bagi pengunjung yang ingin bermalam.

“Presiden PAS Tan Sri Tuan Guru Abdul Hadi Awang kalau datang ke Temerloh sering singgah di sini. Ayah Chik suka bertenggek di wakaf di hadapan rumah tetamu, sambil menikmati keindahan Sungai Pahang,” kata seorang petugas KOMTIQ.

Biarpun kedudukan di sebelah sungai namun jarang dirasai tiupan angin sepoi-sepoi. Suasananya agak membahang di siang hari. Fenomena itu sebenarnya tidak pelik.

Kata Ustaz Kamal, Temerloh dan Kuala Pilah di Negeri Sembilan dua lokasi paling panas di Semenanjung.

Ketika ditanya jumlah kos bagi membangunkan KOMTAQ, Ustaz Kamal memberitahu sekitar RM7 juta.

“Jumlah sebenar ana tidak rekod sepenuhnya. Apabila ada sumbangan, kita gunakan semula bagi membangunkan KOMTAQ,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.

Difahamkan puluhan ribu diperluskan setiap bulan bagi mengurus KOMTAQ. Ia termasuk membayar gaji guru dan petugas lain.

Bagi penghuni rumah warga emas mereka hanya dikenakan bayaran RM50 sebulan. Itu pun bagi rumah ada kipas. Rumah dilengkapi penghawa dingin pula dikenakan RM100.

KOMTAQ menggunakan seperti kaedah wakaf. Pihak pengurusan tidak meletak kadar bayaran tertentu bagi menggunakan premis di situ.

Rata-rata warga emas berbangga menumpang di situ. Suasana tenang yang dipenuhi kehijauan menjadi pilihan mereka.

Mat Rosli Mat Hassan

Bagitu juga bagi sepasang suami isteri warga emas, Mat Rosli Mat Hassan, 72, dan isterinya Saadiah Dogol, 64. Sebelum ini mereka meninjau pondok lain di sekitar Temerloh sebelum memilih KOMTAQ.

Katanya keputusan berpindah ke KOMTAQ kerana semua anak-anaknya sudah mempunyai keluarga dan kerjaya masing-masing.

“Duduk di sini hendak belajar ilmu agama di samping dapat menunaikan solat fardu berjemaah setiap hari.

“Kami bersyukur kerana diberi peluang untuk menjadi salah seorang warga KOMTAQ. Boleh mendalami ilmu agama, beramal ibadat dan berjemaah setiap waktu,” katanya yang juga bekas peneroka di Jengka 16. – HARAKAHDAILY 25/5/2022

- Advertisement -