KUALA LUMPUR: Hari Guru disambut setiap tahun bagi meraikan jasa mereka mendidik masyarakat dengan ilmu, kata Presiden PAS, Tan Sri Tuan Guru Abdul Hadi Awang.
Menurutnya, guru adalah cahaya yang menerangi lorong kegelapan.
Beliau berkata, Rasulullah SAW menjadi model contoh guru paling unggul di dunia kerana menyelamatkan manusia dari kegelapan jahiliah kepada cahaya Islam.
Tambahnya, pendidik bukan hanya menyampaikan ilmu yang bermanfaat tetapi membentuk peribadi anak-anak murid dengan akhlak mulia mengikut acuan yang betul.
Katanya lagi, sejarah tamadun Islam dibina di bumi kering kontang, namun akhirnya menjadi tamadun yang berpengaruh kerana modal insan generasi awal dibentuk di atas asas keimanan yang kukuh.
“Saya mengambil kesempatan pada hari ini untuk mengucapkan Selamat Hari Guru kepada seluruh warga pendidik,” ujarnya menerusi laman sosial beliau, hari ini.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Marang berharap semoga warga pendidik terus komited dalam membangunkan agenda pendidikan kepada anak-anak muda yang merupakan masa depan negara. – HARAKAHDAILY 16/5/2022