RM2.156 bilion untuk selesaikan masalah banjir Sungai Golok

- Advertisement -

Oleh ZIAUDDIN SHARUDDIN

KUALA LUMPUR: Kerajaan memerlukan peruntukan sebanyak RM2.156 bilion bagi menyelesaikan keseluruhan masalah banjir di sepanjang Sungai Golok.

Menteri Alam Sekitar dan Air, Dato’ Sri Tuan Ibrahim Tuan Man, berkata Projek Pembangunan Lembangan Sungai Bersepadu KESBAN dirancang untuk dilaksanakan dalam dua fasa secara berterusan mulai Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK-11) hingga RMK-13.

- Advertisement -

Menurutnya, fasa pertama projek melibatkan hilir Lembangan Sungai Golok di Jajahan Tumpat dan sebahagian Jajahan Pasir Mas.

Katanya, fasa kedua pula melibatkan baki kerja untuk menyelesaikan masalah banjir secara keseluruhan akibat limpahan Sungai Golok yang melibatkan kawasan tengah dan hulu sungai di sebahagian Jajahan Pasir Mas, Tanah Merah dan Jeli.

“Sehingga kini, Pembangunan Lembangan Sungai Bersepadu (PLSB) Sungai Golok (KESBAN) Fasa 1 dengan jumlah peruntukan RM656 juta telah mencapai kemajuan fizikal terkini sebanyak 50 peratus dan dijangka siap pada 13 Ogos 2024,” katanya ketika penggulungan Titah Diraja bagi KASA di Dewan Rakyat, hari ini.

Ketika membahaskan isu-isu di bawah KASA sepanjang tempoh usul menjunjung kasih dan perbahasan Titah Diraja dalam sesi kali ini, seramai 37 Ahli Parlimen mengambil bahagian yang membahaskan empat isu utama, iaitu perubahan iklim, pengurusan alam sekitar dan bekalan air serta sumber air serta pengurusan banjir.

Tuan Ibrahim berkata, PLSB Sungai Golok Fasa 2 dengan kos sebanyak RM1.5 billion telah dimohon di bawah Rolling Plan Ke-2 RMK-12 (RP2 RMK-12) namun kelulusan yang diberikan sebanyak RM456 juta melibatkan skop pembinaan Tembok Banjir Rantau Panjang.

Bagaimanapun, katanya permohonan dibuat kepada Unit Perancangan Ekonomi (EPU) untuk perluasan skop membabitkan pembinaan ban banjir Sungai Golok sepanjang 40 kilometer (km), pembinaan empat buah rumah pam dan pembinaan ban banjir Sungai Lanchang Lemal sepanjang 20 km.

Katanya, pelaksanaan projek ini bagi bandar Rantau Panjang dan Pasir Mas dapat melindungi kira-kira 25,000 penduduk daripada impak banjir yang meliputi 250 km persegi.

Sementara itu, katanya mengambil kira perkembangan semasa berkaitan perubahan iklim di peringkat antarabangsa dan kebangsaan, KASA sedang melaksanakan semakan semula Dasar Perubahan Iklim Negara.

“Proses semakan dasar ini melibatkan cadangan pendekatan baharu, iaitu pembangunan teras strategik bagi tindakan mitigasi dan adaptasi bagi sektor berkaitan, penambahbaikan sistem sokongan bagi pelaksanaan dasar dan penambahbaikan penyampaian dasar kepada pemegang taruh secara inklusif dan bersepadu.

“Proses semakan Dasar Perubahan Iklim Negara kini berada di peringkat akhir dan dijangka akan dimuktamadkan pada tahun ini,” katanya. – HARAKAHDAILY 15/3/2022

- Advertisement -