Perbanyakkan bandar mesra warga emas

- Advertisement -

Oleh EVA NATASHA SADALI

KUALA LUMPUR: Negara perlu mewujudkan lebih banyak bandar mesra warga emas pada masa akan datang dalam usaha memastikan maklumat golongan berkenaan sentiasa dikemas kini dari semasa ke semasa.

Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Dato’ Siti Zailah Mohd Yusoff, berkata sistem pendaftaran warga emas nasional juga perlu ditambah baik dengan menyediakan liputan yang lebih meluas.

- Advertisement -

Katanya, dasar warga emas negara mengiktiraf golongan berkenaan sebagai warga negara yang terdiri daripada pelbagai latar belakang serta pengalaman dan mempunyai hak untuk menikmati kehidupan sejahtera, dihormati serta boleh terus menyumbang kepada pembangunan negara.

“Dasar warga emas negara adalah komitmen kerajaan untuk mewujudkan warga emas yang berdikari, bermartabat, dihormati dengan mengoptimumkan potensi diri melalui penuaan sihat, positif, aktif dan produktif serta menyokong untuk meningkatkan kesejahteraan hidup dalam pembangunan negara.

“Ini selaras dengan pelan tindakan warga emas negara yang memperuntukkan enam strategi, iaitu promosi advokasi, pembelajaran sepanjang hayat, keselamatan dan perlindungan, tadbir urus dan perkongsian tanggungjawab, penglibatan dan kesepaduan antara generasi penyelidikan dan pembangunan,” katanya menjawab soalan lisan Dato’ Zakaria Mohd Edris (Bersatu-Libaran) di Dewan Rakyat, hari ini.

Siti Zailah berkata, bagi memastikan kesejahteraan hidup warga emas di negara ini terjamin, kementeriannya sentiasa memantau dan mengemas kini Dasar Warga Emas Negara dan Pelan Tindakan Warga Emas Negara supaya program membabitkan golongan berkenaan selaras dengan matlamat yang ditetapkan dalam Warisan Kemakmuran Bersama 2030 dan dan Rancangan Malaysia Ke-12.

Setakat ini, katanya lebih 140 pusat warga emas telah diwujudkan dan kerajaan merancang untuk memperluaskan ke seluruh kawasan Parlimen.

Katanya, kerajaan juga menubuhkan Majlis Penasihat dan Perunding Warga Emas Negara yang dianggotai wakil pelbagai kementerian.

“Kita juga melibatkan beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan pakar dalam pelbagai bidang, terutama berkaitan warga emas sebagai anggota majlis yang dipengerusikan sendiri oleh Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Dato’ Seri Rina Harun.

“Di peringkat negeri, kita mempunyai jawatankuasa pembangunan warga emas yang mempunyai hubungan secara langsung dengan majlis tindakan negeri bagi menghubungkan antara kerajaan Pusat dan negeri,” katanya.

Dalam usaha memperkasa peranan golongan berkenaan, katanya kerajaan berusaha melaksanakan pelbagai program seperti Hari Warga Emas, Persidangan Pusat Aktiviti Warga Emas dan Persidangan Meja Bulat ke Arah Negara Tua. – HARAKAHDAILY 15/12/2021

- Advertisement -