Google gesa pekerja suntik vaksin, atau dipecat

Silicon Valley yang menempatkan pejabat Google di Sacramento, California kini sedang menghadapi pertambahan semula kes jangkitan baharu Covid-19 dan varian Omicron. (FOTO CNBC)
- Advertisement -

SACRAMENTO: Syarikat induk laman enjin pencarian gergasi Google,  Alphabet Inc, menggesa pekerjanya mendapatkan suntikan vaksin Covid-19 atau bakal menghadapi tindakan gaji mereka dikurangnya dan akhirnya dipecat.

Memo yang diedarkan oleh pengurusan tertinggi Google berkata, pekerja syarikat itu diberikan tempoh sehingga sehingga 3 Dis 2021 untuk mengisytiharkan status vaksinasi masing-masing dan memuat naik dokumentasi yang menunjukkan bukti, atau untuk memohon pengecualian atas sebab perubatan atau agama.

- Advertisement -

Selepas tarikh itu, Google menegaskan,  ia akan mula menghubungi pekerja yang tidak memuat naik status mereka atau tidak divaksinasi dan mereka yang permintaan pengecualiannya tidak diluluskan, lapor CNBC pada hari Selasa (14 Nov).

“Pekerja yang tidak mematuhi peraturan vaksinasi sebelum 18 Januari  2021 akan diletakkan pada status ‘cuti pentadbiran berbayar’ selama 30 hari, diikuti dengan ‘cuti peribadi tanpa gaji’ sehingga enam bulan dan selepas tempoh itu perkhidmatan mereka akan ditamatkan,” ujar memo Google berkenaan.

Seperti kebanyakan kawasan padat populasi di Amerika Syarikat, Silicon Valley yang menempatkan pejabat Google juga kini sedang menghadapi pertambahan semula dalam kes jangkitan baharu Covid-19 dan varian Omicron, memaksa syarikat  itu menilai semula perancangan agar kakitangan kembali bekerja di pejabat. 

Pentadbiran Presiden, Joe Biden sebelum ini telah mewajibkan vaksinasi untuk kontraktor persekutuan di seluruh AS, tetapi beberapa syarikat terkemuka negara itu telah menangguhkan tindakan untuk mematuhi arahan tersebut di tengah-tengah pelbagai bantahan daripada pemerintah negeri yang mendakwa Biden melampaui kuasanya dalam arahan suntikan vaksin Covid-19 berkenaan.

Google yang menggaji lebih 150,000 pekerja di seluruh AS, berkata ia merancang untuk mengikut arahan Biden. Pada bulan Julai lalu, konglemerat itu mengumumkan  ia akan memerlukan semua pekerja mendapatkan vaksin sebelum dibenarkan kembali bekerja di pejabat.

“Kami menjangkakan bahawa hampir semua peranan di Google di AS akan berada dalam skop perintah eksekutif,” lapor CNBC lagi, memetik memo Google. 

“Sesiapa sahaja yang memasuki bangunan Google perlu mendapat suntikan vaksin sepenuhnya sebelum diibenarkan kembali bekerja di pejabat,” tegas memo berkenaan sambil menambah bahawa ‘ujian pengesanan Covid-19 yang kerap bukan alternatif yang sah kepada vaksinasi’.

Ketika dihubungi oleh agensi berita Reuters pula, Google tidak mengulas secara langsung mengenai laporan CNBC itu tetapi berkata, ia komited untuk melakukan segala yang mungkin untuk membantu pekerjanya yang boleh mendapatkan vaksin berbuat demikian, dan berdiri teguh di belakang dasar vaksinasi negara.

Pada awal bulan Nov ini, Google menangguhkan pelan agar pekerjanya kembali bekerja di pejabatnya susulan kebimbangan terhadap kemunculan Omicron, selain bantahan daripada sebilangan pekerjanya terhadap vaksinasi yang dimandatkan oleh syarikat. – HARAKAHDAILY 15/12/2021

- Advertisement -